suria

“Jumpa orang susah baju buruk. Saya tanggal jubah beri dekat dia” - Dulu Ebit Lew ‘daif ya amat’... pernah dipanggil bodoh bersusah tolong orang

Ebit berkongsi kisah dan pengalamannya berdepan kesusahan sejak kecil sehingga dikurniakan rezeki melimpah ruah. Foto Facebook Ebit Lew

SIAPA sangka pendakwah terkenal, Ebit Lew sendiri pernah merasai pengalaman sebagaimana yang dialami golongan susah dan kurang berkemampuan yang dibantunya.

Berkat doa ibu bapa, Allah SWT mengurniakan rezeki yang melimpah ruah di atas usaha beliau bekerja dan berniaga lebih 10 tahun.

Malah, Ebit juga pernah melalui ujian getir apabila mahu berdakwah sejak kecil.

ARTIKEL BERKAITAN: Sering sebak saat bantu orang susah, kali ini tangisan anak muda buat Ebit Lew sedih... – “Dulu saya jahat ustaz, betul-betul jahat”

ARTIKEL BERKAITAN: Berjuta ringgit dibelanja, Ebit Lew sedih bantuan disalaherti - “Minta maaf, jangan tag saya lagi kes orang susah...”

Dulu saya tidur di masjid. Pernah tidur atas guni. Dari kecil berdakwah dan menyebarkan kasih sayang. Soalan paling banyak saya dengar nanti kau sibuk tolong orang sana sini habis hilang dunia. Kau nak jadi apa dah besar.

“Sampailah universiti. Ramai tak nak ambil saya kerja sebab selekeh. Dengan janggut kopiah lagi, kasut pun buruk. Dulu sekolah stokin pun takde,” luah Ebit menerusi perkongsiannya di halaman Facebook, Isnin malam.



Sanggup bersusah-payah untuk membantu orang lain.

Berkongsi kisahnya, Ebit mengakui beliau mengalami kesusahan ketika mula bekerja sehingga menitiskan air mata apabila ada insan yang baik hati sudi menghulurkan bantuan.

“Masa tu susah betul. Duit gaji dekat mak semuanya RM800 dengan banyak kerja. Saya walau ada sepinggan nasi, kongsi dengan kawan.

“Ada orang masuk RM2 dekat poket sebab tolong isi minyak. Saya menangis dapat RM2 tu. Besar nilai untuk saya,” tambahnya.

Beliau mula bekerja sebagai pelatih dan penceramah motivasi dengan Datuk Dr Mohd Fadzilah Kamsah dan Prof Mohd Hanim Tahir selama empat tahun, sebelum bekerja sendiri.

“Syukur syarikat minyak dan kapal buat team building dengan saya. Syarikat kerajaan ada buat program untuk seluruh kementerian dan program keluarga sunnah sekali hadir 7,000 orang.

“Saya pergi seluruh Malaysia. Syukur ramai yang mendapat manfaat. Buat di hotel lima bintang dan dewan besar. Persiapan macam konsert sebagai daya tarikan dan lebih selesa.

Team building training sebelum ini mereka bayar syarikat luar negara dan syarikat besar dan mereka mula mencari yang ada nilai Islamik,” katanya sambil menambah beliau kini mempunyai tiga restoran.



Walaupun penat, Ebit tidak mengenal erti jemu membantu mereka yang memerlukan.

Menurut Ebit, beliau sebenarnya merancang untuk membuka restoran berkenaan di seluruh negara dan luar negara, namun belum berkesempatan.

Selain restoran, beliau turut mendedahkan mengusahakan perniagaan butik dengan jubah yang dijualnya laris pada hari pertama pembukaannya.

“Selepas itu makin semangat. Syukur rezeki makin melimpah ruah. Saya tulis sembilan buku, semua buku laris. Buku yang dah lapan tahun tulis masih laris sampai sekarang.

“Tambahan lain Youtube dan Facebook (FB). Rupanya Youtube dan Facebook bayar banyak juga kerana mereka tumpang iklan di FB dan Youtube saya,” katanya.

Miskin atau kaya bukan pada rumah kereta, tetapi pada hati. Walaupun ada sepinggan kongsi dengan orang lain... percayalah di sebalik ujian ada rahmat

EBIT LEW

Ebit turut bersyukur kerana mempunyai dua program TV selama dua tahun iaitu Door to Door Ebit Lew dan A Bit With Ebit.

“Dua program saya sendiri dah dua musim. Dapat juga bayaran syarikat media untuk iklan sedikit-sebanyak,” katanya sambil menambah 55 staf tetap dan 40 sukarelawannya turut dibayar.

Sehubungan itu, beliau yakin rezeki yang diterimanya daripada Allah SWT sambil menambah dua perkara penting iaitu rajin dan yakin kerana baginya, tiada tempat di dunia dan akhirat untuk orang yang malas.

“Yakin pada Allah. Allah beri rezeki. Dia punya semua. Tiada kita punya. Jaga solat awal waktu. Bila susah selalu beri masa solat sunat, Tahajud dan Dhuha.

“Jaga mak ayah dan mentua dengan baik. Jangan kedekut dengan isteri dan anak-anak. Beri kasih sayang, pelukan dan kasih sayang. Tanpa doa bidadari saya dan anak-anak pasti tak dapat semua ini. Allah beri rezeki.



Kasih sayang buat keluarga menjadi semangat Ebit meneruskan usaha dan impiannya.

“Dulu ingat lagi selalu bila jumpa orang susah baju buruk pergi masjid. saya tanggal jubah saya beri dekat dia. Dia nak selipar beri selipar.

“Sampai orang kata saya bodoh. Kau susah sebab nak tolong orang. Saya sedih. Tapi saya yakin Allah pasti balas,” katanya yang turut membawa anak jalanan berbelanja di pusat beli-belah.

Ebit berkata, tiada yang berkuasa melainkan Allah dan dunia sementara sahaja, manakala akhirat adalah selamanya.

“Miskin atau kaya bukan pada rumah kereta, tetapi pada hati. Walaupun ada sepinggan kongsi dengan orang lain... percayalah di sebalik ujian ada rahmat.

“Barang siapa bekerja untuk membantu seramai mungkin orang miskin dan anak yatim dia sedang berjihad di jalan Allah.

“Penting didik anak rajin. Didik anak jadi orang kaya takwa. Didik anak jadi pemimpin. Didik anak jadi terkenal dunia dan akhirat. Supaya kita semua jadi duta Islam dan bawa akhlak Nabi Muhammad SAW,” katanya.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain