suria

Doktor berdiri di luar pagar luah rindu anak, sepupu mengaku ‘emosi’ - “Semua nak duduk di rumah, tapi mereka tak mampu”

Sekeping gambar yang tular menunjukkan seorang doktor menjenguk anak-anaknya dari luar pagar benar-benar menyentuh hati netizen. Foto: Ahmad Effendy Zailanudin

SEIRING dengan peningkatan kes wabak Covid-19 yang dicatatkan hari demi hari di negara ini, pastinya petugas perubatan dan kesihatan tidak menang tangan merawat pesakit di hospital.

Pengorbanan mereka yang digelar sebagai ‘fronliners’ ini sememangnya tidak terbalas kerana sanggup mempertaruhkan nyawa sendiri meskipun berdepan dengan risiko besar untuk turut dijangkiti wabak yang kini sudah mengorbankan 20 individu itu.

Di kala orang lain sedang memperuntukkan masa bersama keluarga di rumah sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan, berlainan pula dengan nasib golongan ini yang boleh dikatakan tidak dapat meluangkan masa bersama dengan keluarga tersayang kerana tugas.

ARTIKEL BERKAITAN: Ibu, bapa positif Covid-19! Anak doktor akui stres tak boleh lawat ayah di ICU - “Setiap kali dapat panggilan dari hospital, saya sangat takut”

ARTIKEL BERKAITAN: Nurse, doktor dekat rumah sibuk rawat pesakit Covid-19... ibu minta empat beradik tawar khidmat jaga anak mereka

Bukan itu sahaja, mereka juga perlu mengelakkan diri daripada bersentuhan dengan orang yang tersayang kerana dikhuatiri berisiko dijangkiti gara-gara terdedah dengan virus sewaktu merawat pesakit.

Baru-baru ini tular sekeping gambar memaparkan bagaimana seorang bapa yang hanya mampu menjenguk anak-anaknya dari kejauhan untuk melepaskan rindu.

“Dia juga punya keluarga. Punya anak-anak yang rindukan dia. Khidmatnya diperlukan semasa negara dalam keadaan masih dibelenggu wabak Covid-19.

“Begini cara dia berjumpa anak-anak. Dari jarak jauh. Aku pun seorang ayah. Aku terkesan bila tengok gambar ni,” demikian sebahagian nukilan yang ditulis bersama sekeping gambar yang turut dimuat naik dalam perkongsian tersebut.

Nukilan Ahmad Effendy Zailanudin yang membuatkan netizen tersentuh hati.

Menerusi perkongsian pelayar bernama Ahmad Effendy Zailanudin di Facebook, lelaki tersebut merupakan sepupunya dan bertugas sebagai seorang doktor.

Ketika dihubungi mStar, Ahmad Effendy berkata perkongsian tersebut bagi memberi kesedaran kepada orang ramai agar setiap individu bertanggungjawab dan perlu memainkan peranan penting dalam usaha untuk membendung penularan wabak Covid-19.

“Banyak juga berita yang tak seronok kita dengar di media sosial, antaranya ada petugas yang melayan patient yang datang dengan kasar, tak mesra dan lain-lain. Tapi kita kena faham dan letakkan diri kita di tempat mereka.

“Berapa ramai orang yang datang hospital untuk kes ni? Belum lagi masuk kes-kes selain Covid-19. Jadi petugas-petugas ni berdepan dengan emosi, mental yang penat, fizikal yang terpaksa tahan walaupun mereka dah tak mampu nak buat.

“Jadi apa yang kita boleh buat, kita ikut saranan seperti yang dah dikeluarkan. Ini cara supaya kita pun boleh bantu mereka,” ujarnya.

Saya pasti petugas-petugas semua kalau boleh nak duduk di rumah, tapi mereka tak mampu sebab panggilan tugas. Tapi kita ni, hanya disuruh duduk rumah. Benda simple.

AHMAD EFFENDY ZAILANUDIN

SEPUPU

Menurut lelaki ini, sepupunya bertugas di sebuah hospital di Selangor.

“Beliau mempunyai dua orang anak. Yang sulung berusia enam tahun, yang adiknya berusia lima tahun. Isteri dan kakaknya juga merupakan seorang doktor,” ujarnya.

Dalam pada itu lelaki ini turut meluahkan rasa kesal kerana ada pihak yang tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan dengan menularkan perkongsiannya dan mengaitkan dengan seorang doktor di Indonesia.

“Ada berita yang tak betul di Indonesia yang gunakan gambar dia tu. Mereka gunakan gambar dia tu untuk raih simpati pada seorang doktor bernama Dr Hadio,” ujarnya.

Ahmad Effendy kesal apabila ada pihak yang menyalahgunakan gambar sepupunya (kiri) dan mengaitkannya dengan seorang doktor di Indonesia (gambar kanan).

Mengulas lanjut, Mohd Effendy sekali lagi menasihatkan orang ramai agar tidak mementingkan diri dengan memandang remeh saranan kerajaan pada ketika ini kerana sikap sedemikian hanya akan menambahkan beban petugas kesihatan.

“Saya pasti petugas-petugas semua kalau boleh nak duduk di rumah, tapi mereka tak mampu sebab panggilan tugas. Tapi kita ni, hanya disuruh duduk rumah. Benda simple.

“Kalau ini pun tak boleh buat, jangan terkejut jika jumlah kes meningkat lebih banyak,” ujarnya lagi.

Perkongsian tersebut menyentuh hati netizen, dengan rata-ratanya meluahkan rasa simpati dan terharu dengan kisah berkenaan.

Antara komen netizen yang tersentuh hati dengan perkongsian Ahmad Effendy.

“Entah berapa banyak tangisan anak ini atas pengorbanan ayah dan  ibu mereka yang bergelar frontliner. Kita yang masih sihat dan diberi rehat kat rumah tolonglah faham dan ambil peduli. Patuhilah arahan kerajaan,” tulis seorang pelayar.

“Sedihnya tengok perasaan rindukan anak-anak hanya boleh dilihat dari jauh sahaja. Semoga Allah melindungi semua kakitangan yang terlibat di barisan hadapan dan semoga keadaan kembali pulih seperti sediakala dan kita semua dalam lindungan-Nya,” komen netizen yang lain pula.

“Please #stayathome supaya mereka juga boleh nikmati saat indah bersama keluarga tercinta,” tulis seorang lagi pelayar.

Sehingga kini posting tersebut meraih 422 shares dan ratusan komen netizen. 

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
doktor, pagar, anak, sepupu, Covid-19, rindu

Artikel Lain