suria

Budak 10 tahun menangis teresak-esak dapat tahu Abam Bocey dah tiada, sanggup stop main PS4 nak tengok idola – “Kerana Abam, dia terbuka hati tonton program TV Melayu”

Seorang murid menangis teresak-esak selepas mendapat berita mengenai pemergian pelawak Abam Bocey. Foto Azrin Ahmad Zahdi/LOW LAY PHON

PEMERGIAN pelawak Abam Bocey atau nama sebenarnya Syed Umar Mokhtar Syed Mohd Redzuan merupakan satu kehilangan buat industri seni tanah air.

Ia juga tentunya memberi kesan yang mendalam buat peminat-peminat Allahyarham yang menyokong beliau sepanjang pembabitannya sebagai anak seni.

Menerusi sebuah video yang tular di media sosial, seorang murid menangis teresak-esak apabila mendapat khabar sedih perginya Abam buat selama-lamanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Abam Bocey meninggal dunia akibat demam panas

ARTIKEL BERKAITAN: Rasa sayu 2,000 tetamu iringi pengebumian Abam, selesai ketika Maghrib

Bapa kepada murid berkenaan, Azrin Ahmad Zahdi berkata, anak lelakinya, Eilman Razin yang berusia 10 tahun merupakan peminat tegar Abam Bocey. 

Eilman berasa sedih dengan pemergian Abam.

Menurut Azrin, anaknya mendapat berita mengenai kematian Abam sebaik tamat sesi persekolahan pada tengah hari Isnin selepas dijemput oleh ibu saudaranya. 

“Adik saya yang juga ibu saudara Eilman berkongsi berita tentang Abam meninggal dunia. Eilman terkejut dan terus menangis sepanjang perjalanan pulang ke rumah.

“Nasib baik dia dapat berita tu tengah hari lepas tamat sesi persekolahan, kalau tahu dari pagi... tak mahunya dia pergi ke sekolah,” katanya kepada mStar

Azrin berkata, kesedihan Eilman yang merupakan anak bongsu daripada dua beradik itu dapat digambarkan pada wajahnya sepanjang hari.

“Masa nak makan tengah hari pun muka dia masam, kami tahu dia memang sedih sangat,” ujarnya yang bertugas sebagai perunding.

Eilman tertarik menonton program TV berbahasa Melayu kerana Abam Bocey.

Menetap bersama keluarganya di Shah Alam, Selangor, bapa berkenaan mendedahkan anaknya sejak kecil tidak cenderung kepada program televisyen berbahasa Melayu.

“Anak saya ni suka berbahasa Inggeris, sedangkan bila saya dan isteri bercakap dengan dia dalam bahasa Melayu... dia akan balas dalam bahasa Inggeris.

“Eilman hanya bercakap Melayu di sekolah dan dengan pembantu rumah. Ada juga kami ajak dia tengok drama Melayu, tapi dia tak minat untuk menonton bersama.

“Abam Bocey membuatkan hatinya terbuka hati untuk menonton program TV Melayu menerusi rancangan Maharaja Lawak Mega,” katanya yang merujuk kepada program realiti pertandingan komedi terbitan Astro.

Allahyarham Abam. Foto MUHAMAD SHAHRIL ROSLI/The Star

Mengulas lanjut, jelas Azrin, anaknya itu sering menghabiskan masa bermain permainan video PlayStation 4 (PS4) di rumah.

“Kalau main PS4, boleh berjam-jam Eilman boleh habiskan masa. Selagi tak suruh berhenti main, memang dia akan fokus dengan permainan tu.

“Tapi bila kami beritahu Eilman ada program TV yang menyiarkan Abam Bocey sedang berlangsung, dia sanggup berhenti bermain dan tengok program tu, tapi hanya part yang ada Abam dan kumpulan Bocey sajalah,” katanya.

Watak Kungfu Panda yang dilakonkan oleh Abam menarik perhatian Eilman.

Azrin berkata, anaknya itu amat menyukai haiwan panda dan watak kartun animasi Kungfu Panda yang dilakonkan oleh Abam dalam program Maharaja Lawak Mega benar-benar memberi kesan dalam dirinya.

“Eilman ni seorang yang pemalu, tapi dia beritahu yang Abam ni comel, yang disifatkannya sebagai seorang pelawak yang terbaik.

“Aksi dan telatah Abam benar-benar menghiburkan Eilman. Pemergian Abam pastinya kehilangan bagi dia,” katanya.

Allahyarham Abam meninggal dunia pada pagi Isnin di kediamannya di Gombak, selepas mengalami demam panas sejak dua hari sebelumnya.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain