suria

“Empat tahun menghabiskan duit suaminya, tapi tak pernah habis” - Lelaki ini kagum tak miskin tanggung keluarga selepas isteri resign

Firdaus berkata rezekinya bertambah sejak isterinya menjadi suri rumah sepenuh masa empat tahun lalu.

BENARLAH kata orang rezeki suami memang berkait dengan orang rumahnya.

Begitulah kisah seorang pemuda yang berkongsi kisah mengenai rezekinya yang tidak pernah putus selepas isterinya membuat keputusan untuk berhenti kerja, empat tahun lalu.

Menurut Firdaus Shakirin, isterinya yang dulunya wanita berkerjaya memilih untuk berhenti kerja bagi menjaga tiga anak mereka.

ARTIKEL BERKAITAN:Selepas kira bajet, Instafamous dan suami sepakat tangguh timang baby - “Biarlah dapat anak lambat, janji dapat beri keselesaan untuk mereka”

ARTIKEL BERKAITAN: “Nak beli jiwa tak perlu modal,” Suami sebak bawa keluarga pusing mall, dalam poket ada RM20 sahaja

"Bila pengasuh tiba-tiba tak boleh jaga anak ketiga yang masih baby tu, isteri ambil cuti untuk jaga sementara nak cari pengasuh baharu.

"Kami duduk berbincang, bersembang hati ke hati. Saya tak bersedia lagi untuk dia berhenti sebab komitmen bulanan tu masih sama, plan atas gaji dua orang.

"Tapi bila difikirkan tentang anak-anak, maka isteri kata keputusan yang terbaik adalah berhenti kerja, duduk rumah, uruskan anak-anak sebab anak-anak dah nak start sekolah," katanya dalam satu posting di Facebook.

Firdaus berbincang dari hati ke hati mengenai keputusan isterinya untuk berhenti kerja. -Gambar hiasan

Namun Firdaus berkata timbul persoalan sama ada gajinya seorang cukup untuk menampung perbelanjaan keluarga mereka.

"Cukup ke gaji seorang saja ni? Alhamdulillah, tahun ni dah tahun keempat isteri menjadi suri rumah sepenuh masa tanpa sebarang punca pendapatan.

"Komitmen masih sama, hutang masih sama, dan ditambah pula dengan yuran sekolah untuk setiap anak. Sepanjang empat tahun dia menghabiskan duit suaminya, duit suaminya tak pernah habis.

"Ajaib kan aturan Allah? Semuanya suami beli, semuanya suami sediakan, semuanya suami bagi tapi rezeki suami makin murah, makin mencurah-curah. Tiap-tiap tahun gaji asyik naik sahaja. Bonus suami pun banyak," katanya.

Setiap bulan sentiasa je cukup. Allah SWT tak pernah kedekut dan kejam pada hamba-Nya yg menjalankan tanggungjawab serta kewajipan yang diamanahkan kepadanya untuk ditunaikan.

FIRDAUS SHAKIRIN

Firdaus mengakui kehidupan mereka sekeluarga mewah ketika isterinya turut bekerja dahulu, tetapi timbul nafsu mahu menukar telefon bimbit baharu, sport rim dan mengubah suami kereta ketika itu.

"Dulu isteri seorang wanita yang bekerjaya, ada pendapatan tetap... gaji bersihnya hampir RM3,000 setiap bulan. Hidup mewah bila suami isteri dua-dua bekerja dari anak seorang sehinggalah lahir yang ketiga.

Firdaus mengakui rezekinya tidak putus-putus selepas reda dengan keputusan isterinya untuk berhenti kerja. -Gambar hiasan

"Selesa, tak rasa langsung sesak tengah bulan. Bila isteri ada pendapatan, maka apa yang ada dalam fikiran saya? Kalau duit saya tak cukup, saya boleh minta kat dia. 

"Then hadirlah nafsu untuk tukar handphone, tukar sport rim, modified kereta dan sebagainya. Tak tanya isteri dah, terus buat keputusan sendiri," katanya.

Sejak tindakan isterinya berhenti kerja itu, Firdaus berkata barulah dia menyedari bahawa rupa-rupanya suami tidak jatuh miskin jika menanggung isteri sepenuhnya.

"Tak susah si suami yang memudahkan urusan isteri dan tak berkira dengan isteri. Sepanjang empat tahun ni juga, Allah berikan kesihatan yang cukup-cukup baik kepada saya. Jarang sakit untuk keluar mencari rezeki untuk keluarga.

"Setiap urusan tu rasa mudah dan setiap kali bekerja tu hati rasa tenang walaupun gaji dihabiskan untuk keluarga. Tapi ianya tak menyebabkan diri rasa serabut dan duit tak cukup.

"Setiap bulan sentiasa je cukup. Allah SWT tak pernah kedekut dan kejam pada hamba-Nya yang menjalankan tanggungjawab serta kewajipan yang diamanahkan kepadanya untuk ditunaikan," katanya.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
rezeki, suami, isteri, berhenti kerja

Artikel Lain