Belajar engineering tapi akhirnya kerja jual burger demi ibu dan kakak autisme - “Susah nak lepak dengan kawan”

Ain (gambar kanan) menguruskan gerai burger setelah kematian bapanya pada 2018.

TATKALA anak muda seusianya sedang bergembira dengan rakan-rakan, lain pula kisahnya dengan gadis ini apabila dia gigih mengusahakan gerai burger milik arwah bapanya.

Kisah graduan diploma Kejuruteraan Awam itu tular di Twitter setelah dia membuat hebahan mengenai gerai berkenaan sehingga menerima lebih 4,600 ulang kicau (Retweet).

Bercerita kepada mStar, Nurul A'in Azman, 24, mengakui pada mulanya agak ralat kerana tidak berpeluang meneruskan kerjaya dalam bidang yang dipelajarinya di Politeknik Port Dickson, Negeri Sembilan.

ARTIKEL BERKAITAN: Hancur gerai burger dirempuh pemandu mabuk, peniaga bagai ada ‘sixth sense’ sempat peluk anak 5 tahun – “Jarak kereta hanya sejengkal, tak dapat bayangkan kalau…”

ARTIKEL BERKAITAN: Selepas huru-hara gerai burger bakar beratur 3 jam, taukenya kini ‘bergabung’ dengan AC Mizal

Namun, dia menganggap apa yang berlaku sebagai suratan takdir yang mana dia kini hanya memberi fokus kepada perniagaan burger dan keluarga sahaja.

Kata A'in, segalanya bermula selepas bapanya, Azman Mohamed Nor jatuh sakit dan meninggal dunia akibat jangkitan kuman dalam perut pada 28 Februari 2018.

Selain itu, dia juga bergilir-gilir bersama adik-beradiknya untuk menjaga ibu, Solehah Abdul Bab, 56, dan seorang lagi kakak berusia 35 tahun yang menghidap autisme.

Posting Ain yang tular di Twitter.

"Dulu masa habis belajar, ayah sedang sakit. Jadi saya tolong jaga gerai. Lepas ayah meninggal saya ambil alih gerai tu.

"Adik beradik yang lain dah ada kerja, lepas tu ada seorang lagi adik bongsu. Jadi saya jagalah gerai tu.

"Ada juga rasa teringin nak kerja dalam bidang yang saya belajar. Tapi mak tak sihat, saya juga ada seorang kakak autisme," ujarnya.

Susah nak lepak dengan kawan. Kalau nak jumpa mereka, kena tutup gerai. Jadi jarang lah saya jumpa kawan-kawan.

NURUL A'IN AZMAN

PENGUSAHA GERAI BURGER

Menurut gadis itu, gerai yang beroperasi di hadapan kedai serbaneka 7 Eleven Bukit Antarabangsa, Selangor itu menawarkan sekitar 15 jenis menu termasuklah burger daging unta, kambing, roti john, oblong dan macam-macam lagi.

Selain A'in, gerai tersebut turut dibantu kakak iparnya serta seorang pekerja bermula 5.30 petang hingga 12.30 malam.

Allahyarham bapa ain dan ibunya.

Bercerita mengenai dirinya, A'in mengakui reda dengan jalan hidupnya dan menyifatkan apa yang dilakukannya sebagai satu tanggungjawab untuk keluarga.

Malah, dia juga tidak kisah biarpun kini agar sukar untuk keluar bergembira dengan kawan demi menguruskan gerai berkenaan.

Gerai burger Ain di Bukit Antarabangsa.

"Susah nak lepak dengan kawan. Kalau nak jumpa mereka, kena tutup gerai. Jadi jaranglah saya jumpa kawan-kawan.

"Mula-mula rasa down juga tapi lama-lama OK," ujar anak keempat daripada lima beradik ini.

Foto kenangan arwah bapa A'in di gerai burger tersebut.

Dalam pada itu, A'in turut mengucapkan terima kasih kepada netizen yang menularkan posting berkenaan.

Ujar A'in, dia cukup bersyukur atas sokongan ramai dan berharap agar kehadiran pelanggan akan meningkat selepas ini.

Artikel Lain