suria

Suami tak cerewet, tapi wife asyik minta maaf setiap kali hidang makanan - “Ada yang nak jadi madu isteri saya”

Amirul berkongsi gelagat lucu isterinya menerusi satu perkongsian di Twitter sebelum ia menjadi tular.

KATA orang tua-tua, kalau nak memikat suami jagalah perutnya!

Disebabkan itu, tak hairanlah ramai gadis mahu melengkapkan diri dengan ilmu memasak sebelum melangkah ke alam rumah tangga demi menambat hati bakal suami dengan masakan.

Tapi, alangkah bertuahnya isteri jika mendapat pasangan yang langsung tidak cerewet soal makanan, sebagaimana perkongsian seorang lelaki ini di Twitter.

ARTIKEL BERKAITAN: Abang askar jaga isteri berpantang bak permaisuri, layanan tip top dari anak pertama hingga keenam - “Risau juga orang cop saya queen control”

ARTIKEL BERKAITAN: Ramai jealous wanita ini dapat suami sweet macam dalam drama... tak perlu susah payah, tapi isterinya sentiasa rasa cukup dengan apa yang ada

Dalam posting tersebut, lelaki ini yang baru sebulan mendirikan rumah tangga berkongsi gelagat lucu isterinya yang sering memohon maaf setiap kali menghidangkan makanan.

Wife aku tiap hari masak. Tapi tiap kali nak makan, mesti minta maaf. Abang sorry, lauk keras sikit… Abang sorry, nasi ada kerak… Abang sorry, macam tak jadi je bihun goreng sayang buat,” tulis lelaki tersebut dalam perkongsian berkenaan.

Perkongsian Amirul mengenai gelagat isterinya menjadi tular di Twitter. 

Bersama posting tersebut, lelaki itu turut memuat naik sekeping gambar menunjukkan pinggan yang licin selepas menjamah hidangan yang disediakan oleh isterinya.

Gambar pinggan licin itu memberi maksud lelaki berkenaan langsung tidak cerewet soal makanan walaupun mungkin terdapat kekurangan pada masakan isterinya.

Posting lelaki tersebut menjadi tular sehingga meraih 22,200 retweet dan 27,500 like.

Amirul dan isterinya disatukan pada Disember 2019 selepas setahun mengenali hati budi masing-masing.

Ia turut dibanjiri komen netizen, malah ada yang tidak segan silu mahu menawarkan diri menjadi isteri kedua kepada lelaki berkenaan.

Berkongsi cerita dengan mStar, Amirul Hanafi Abdullah berkata dia sama sekali tidak menyangka perkongsian yang dibuat secara suka-suka itu menjadi tular, malah turut mendapat pujian gara-gara sikap tidak cerewetnya itu.

“Sebelum kami berkahwin, isteri saya, Nur Natasha Eliya ada beritahu yang dia tidak handal memasak. Tapi bagi saya, benda itu boleh belajar. Saya pun bukan nak expect masakan isteri seperti cef. Kalau rasa nak makan sedap sekali sekala, kami boleh makan di luar.

“Isteri saya bukan tak pandai masak langsung, cuma dia kurang berkeyakinan sahaja. Maklumlah, sekarang dah tinggal berdua, jadi dia perlu memasak untuk suami. Awal-awal dahulu dia selalu masak masakan yang sama, tapi saya okay sahaja.

“Tapi kemudian semakin hari dia semakin improve. Ada sekali tu, dia buat tomyam. Saya terkejut sebab rasanya sama seperti kedai, dalam hati saya fikir, dia ni mungkin menipu kononnya tak pandai masak. Tapi sebenarnya dia banyak belajar dari internet. Melihatkan effort dia membuatkan saya terharu,” kata pemuda berusia 26 tahun ini.

Ada yang nak jadi madu kepada isteri saya. Bila beritahu dia, dia minta saya letakkan akaun dalam mode privasi sebab bimbang ada orang mengurat saya pula.

AMIRUL HANAFI ABDULLAH

SUAMI

Menurut Amirul, melihat kesungguhan isterinya itu mahu mendalami ilmu masakan semata-mata kerana mahu menambat seleranya, dia kemudian mengambil keputusan untuk memasang internet di kediaman mereka.

“Saya sebenarnya tak kisah dan tak cerewet pun. Tapi mungkin ada wanita yang melihat ia sebagai satu perkara yang besar. Sebagai suami, saya hargai apa jua yang isteri sediakan, dan sebagai tanda sokongan, pujilah masakan mereka. Jika ada yang perlu diperbaiki, beritahu baik-baik.

“Tapi memang tak sangka, tweet suka-suka itu boleh blow up. Siap ramai komen lucu-lucu. Ada yang nak jadi madu kepada isteri saya. Bila beritahu dia, dia minta saya letakkan akaun dalam mode privasi sebab bimbang ada orang mengurat saya pula,” ujarnya sambil ketawa kecil.

Isteri Amirul, Nur Natasha Eliya banyak belajar memasak dari internet.

Dalam pada itu, Amirul yang bertugas sebagai web developer  berkata, ada juga segelintir netizen yang memberikan komen negatif terhadap perkongsiannya itu.

“Ada yang kata Alaa baru sebulan kahwin memanglah okay. Tapi bagi saya, sebagai pasangan berkahwin, kita mesti mahukan perkara itu berpanjangan. Jika kita usaha ke arah itu, maka ia akan ke arah itu. Tapi saya tak ambil hati pun,” ujarnya yang kini menetap di Cyberjaya.

Amirul menambah, lelaki sewajarnya menghargai penat lelah isteri mereka yang berusaha untuk menyediakan hidangan buat suami dan keluarga.

“Walaupun cerewet, tak perlulah agresif. Isteri pasti cuba yang terbaik untuk kenyangkan perut suami mereka. Kena juga tahu, tak semua wanita didedahkan dengan dapur dari awal. Kalau mereka berusaha untuk belajar, kita sepatutnya bersyukur.

“Apa yang penting hargailah mereka supaya gembira dan lebih bersemangat lagi nak memasak. Sokonglah mereka dengan cara masing-masing. Bak kata orang putih, happy wife happy life,” ujarnya mengakhiri bicara. 

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
masak, isteri, maaf, cerewet, internet, madu

Artikel Lain