Kurang 48 jam menjelang Deepavali masih tiada baju mahupun lauk raya, akhirnya keluarga India ini tersenyum - “Dia tak minta, aku yang cari”

Mohd Fadhli membawa keluarga ini membeli belah persiapan Hari Deepavali pada Ahad.

SAMBUTAN Deepavali yang disangka akan suram tanpa pakaian baharu dan makanan enak telah bertukar meriah buat sebuah keluarga istimewa ini apabila dibawa ke sebuah pasar raya membeli pelbagai kelengkapan bagi sambutan perayaan itu.

Keluarga bertuah itu memang patut gembira meraikan Pesta Cahaya yang disambut hanya setahun sekali.

Dengan pertolongan seorang guru, Mohd Fadhli Salleh yang sememangnya popular menghulurkan bantuan kepada golongan kurang berkemampuan, akhirnya sebuah keluarga berbangsa India yang dikenali sebagai Puan Jaya ini dapat menikmati cahaya kegembiraan sama seperti orang lain.

ARTIKEL BERKAITAN: Guru dikecam beri sumbangan snek, coklat mahal untuk orang susah! “Aku letak diri aku sebagai penerima”

ARTIKEL BERKAITAN: “Bayangkan Kalau Anak Sendiri Tak Makan”

Mohd Fadhli yang menguruskan Pertubuhan Kebajikan Danakita berkongsi postingnya di Facebook yang mengundang sebak dalam kalangan pembaca.

Menurutnya, Deepavali menjelang disaat keluarga India lain sibuk membuat persiapan, ada keluarga susu anak pun kehabisan.

Mohd Fadhli membawa sebuah keluarga membeli persiapan sambutan Deepavali.

"Hari ini aku bawa Puan Jaya ke Giant untuk membeli persiapan menyambut Deepavali. Setiap anaknya aku minta ambil dua helai pakaian.

"Ketika mereka memilih pakaian, aku terdengar ibu berbisik pada anaknya. "Eh yang ni RM15, ambil yang sana RM12 sahaja. Kesian cikgu,"  katanya.

Mendengarkan kata-kata si ibu, Mohd Fadhli terus mendekati mereka untuk memberitahu supaya ambil saja yang mana berkenan tanpa perlu risaukan harga.

"Nanti mahal cikgu nak bayar," tulisnya di Facebook yang menjadi tular.

Jelas Mohd Fadhli, dia hanya menyuruh dua beranak itu mengambil baju yang berharga RM15 dan RM18.

"Setelah memilih untuk kesemua tiga anaknya termasuk dua yang tidak turut serta, dia datang mendekati aku dan memberitahu semuanya dah siap.

Begitulah seorang ibu.Untuk mereka tiada pun tak apa, asalkan anak-anak gembira.

MOHD FADHLI SALLEH

"Namun aku tanya, 'Awak punya pakaian mana?

"Saya tak apa cikgu. Anak-anak saja pun cukuplah. Ini pun banyak-banyak terima kasih sama cikgu.

"Aku menyuruhnya ambil juga untuk dirinya dan turut mengambil selipar setiap seorang satu.

"Begitulah seorang ibu. Untuk mereka tiada pun tak apa, asalkan anak-anak gembira," katanya.

Selepas itu Mohd Fadli memberitahu, dia turut menyuruh keluarga itu mengambil kelengkapan mandi seperti sabun dan ubat gigi.

"Puan Jaya mengikut sahaja. Sebaik siap, sekali lagi aku bertanya, kat dapur ada apa? Lauk ada?

"Dia hanya geleng kepala. Aku menyuruhnya ambil lauk. Dia berpaling ke arah aku dan bertanya, 'Cikgu, boleh tak saya nak ambil ayam ini dua ekor. Satu makan esok. Satu lagi makan masa Deepavali."

Jaya bersama anaknya memilih pakaian baharu untuk sambutan Deepavali.

"Aku tak menjawab dan hanya anggukkan kepala sambil tersenyum. Semasa mereka memilih lauk, aku pergi ke tempat mainan.

"Aku pilih mainan untuk anak-anaknya. Nampak sahaja aku menuju ke troli bersama mainan, anaknya terus menyentap tangan ibunya.

"Aku tak faham dan tak tahu apa sebenarnya yang dia cakap. Yang pasti mata anak itu bersinar gembira. Mainan patung untuk anak perempuan, kereta dan pistol untuk anak lelaki. Inikan raya. Mesti gembirakan kanak-kanak," luah Mohd Fadhli.

Sebaik sahaja selesai membeli belah di pasaraya itu, Mohd Fadhli menghantar mereka pulang. 

"Masa nak pulang itulah aku berhenti di KFC. Beratur lebih setengah jam hanya untuk menggembirakan keluarga ini. Reaksi wajah Puan Jaya dan anaknya sangat gembira. Senyuman terukir di sepanjang jalan.

Sebahagian komen-komen pelayar Facebook terhadap posting Mohd Fadhli.

"Ucapan terima kasih bertalu-talu diucap. Dia tidak pernah meminta. Aku yang mencarinya.

"Jika kalian melihat kegembiraan dan senyuman keluarga sebegini, kalian pasti merasa bahagia seperti mana yang aku rasa.

"Terima kasih semua, kerana sokongan kalian ada keluarga bergembira di Deepavali kali ini. Tidak banyak tapi sentiasa, tidak ramai tapi ada, tidak kaya tapi cakna," kata Mohd Fadhli.

Artikel Berkaitan

Artikel Lain