Jumpa jodoh di disko, isteri terkejut reaksi suami diajak berubah, tinggalkan kelab malam selepas kahwin, “Ada masa untuk taubat tapi dah singkat” - Viral | mStar

Jumpa jodoh di disko, isteri terkejut reaksi suami diajak berubah, tinggalkan kelab malam selepas kahwin, “Ada masa untuk taubat tapi dah singkat”

Kisah Ninie dan suaminya menjadi tular setelah ia dikongsi menerusi laman Twitter.

BELUM terlambat untuk berubah, begitulah yang dapat disimpulkan mengenai perjalanan hidup sepasang suami isteri yang baru sahaja melangsungkan perkahwinan pada Februari lalu.

Kisah melibatkan Murni Hidayah Azman Tang, 23, dan pasangan, Muhammad Azmi Che Muda, 31, menjadi tular di laman Twitter setelah wanita itu berkongsi mengenainya pada Khamis.

Mesra disapa Ninie, dia bertemu dengan suaminya buat pertama kali sekitar pertengahan tahun lalu di sebuah pusat hiburan di Kuala Lumpur.

ARTIKEL BERKAITAN: Dah 7 tahun kahwin, tapi penceramah topik rumah tangga belum ada anak, “Isteri pernah left kumpulan WhatsApp”

ARTIKEL BERKAITAN: Isteri dari Kelantan tak disukai keluarga sanggup 'basuh berak' bapa mertua, kini tiap minggu nak menantu balik... “Orang cakap jangan benci keterlaluan”

Dalam tempoh perkenalan singkat, mereka melangsungkan perkahwinan dan kini sudah tidak lagi menjejakkan kaki ke kelab malam.

Malah, mereka juga mula menyertai kelas bacaan al-Quran sebelum Ramadan lalu dan nekad untuk sama-sama berubah ke arah yang lebih baik.

Perkongsian Ninie yang tular di Twitter.

"Masa tahun 2018, sebelum jumpa suami pun saya sudah memperlahankan aktiviti ke kelab malam, tapi masa tu ada kawan lama ajak jumpa di Trec.

"Saya pergi masa tu bukan untuk enjoy, tapi niat untuk teman kawan sahaja. Masa tulah jumpa suami saya, dia tegur dan cakap nak berkawan.

"Saya terpikat sebab dia respect saya, dia tak sentuh saya. Saya rasa selesa, kenapa dia nak protect padahal kami tak kenal pun," ujar Ninie sewaktu dihubungi mStar.

Saya sedar, kita manusia dah berada di akhir zaman. Memang ada masa untuk bertaubat, tapi masa tu dah singkat.

MURNI HIDAYAH AZMAN TANG

Tiga bulan selepas pertemuan pertama itu, mereka membuat keputusan untuk ke fasa yang lebih serius sebelum melangsungkan perkahwinan pada awal tahun ini.

Kata anak kelahiran Pulau Pinang itu, dia dan suami ada menjejakkan kaki ke kelab malam sebanyak dua kali selepas mendirikan rumah tangga.

Namun katanya, dia mula sedar dan terfikir untuk berubah sebelum nekad mengajak suaminya memperbaiki diri dan tidak lagi menjejakkan kaki ke mana-mana pusat hiburan.

"Bila pergi sana, tiba-tiba nampak ramai anak Melayu termasuk saya. Saya terfikir, sampai bila nak duduk sini?

"Saya paksa diri dan ajak suami berubah. Saya pun bukannya baik, tapi sebagai isteri, saya kena ajak dia ke arah kebaikan," katanya.

Majlis perkahwinan mereka yang berlangsung pada Februari lalu.

Bercerita mengenai kelas al-Quran yang disertainya di Al-Baghdadi, Puchong Lestari, Ninie mengakui gembira dapat menuntut ilmu bersama suaminya.

Imbas wanita itu, suaminya juga begitu bersungguh-sungguh sewaktu dia menyuarakan hasrat untuk menyertai kelas al-Quran suatu ketika dahulu.

"Dulu masa kecil boleh baca. Tapi bila dah lama tinggal, kena polish baliklah.

"Saya minta suami cari kelas sebab teringin nak baca al-Quran dengan lancar. Dia langsung tak tangguh-tangguh, terus dia cari.

"Kalau kejut dia bangun waktu Subuh pun sama. Sekali kejut terus dia bangun. Dia tak akan tangguh walau lima minit.

Ninie dan suaminya mula mengikuti kelas pengajian al-Quran sebelum Ramadan lalu.

"Saya juga ada beli buku untuk belajar agama. Saya sedar, kita manusia dah berada di akhir zaman. Memang ada masa untuk bertaubat, tapi masa tu dah singkat," katanya lagi.

Mengulas perkongsian kisah dia dan suami yang tular, Ninie mengakui terharu dan langsung tidak menyangka ia bakal menarik perhatian ramai.

Sehingga kini, ia dikongsi lebih 8,500 pelayar Twitter dan turut dihujani ratusan komen yang rata-ratanya memuji kisah penuh inspirasi itu.

Artikel Lain