suria

Dah 7 tahun kahwin, tapi penceramah topik rumah tangga belum ada anak, “Isteri pernah left kumpulan WhatsApp”

Perkongsian lelaki itu yang tular di Twitter. Gambar Hiasan: AFP.

PASANGAN berkahwin yang tidak dikurniakan zuriat pastinya sudah terbiasa berdepan dengan tekanan daripada orang sekeliling.

Selain rakan dan orang luar, golongan keluarga sendiri juga tidak kurang 'kepohnya' apabila berbicara dan mempersoalkan isu sensitif itu.

Tular di Twitter, perkongsian seorang lelaki mengenai kisah dia dan isteri yang belum mendapat zuriat biarpun sudah tujuh tahun mendirikan rumah tangga.

ARTIKEL BERKAITAN: Isteri dari Kelantan tak disukai keluarga sanggup 'basuh berak' bapa mertua, kini tiap minggu nak menantu balik... “Orang cakap jangan benci keterlaluan”

ARTIKEL BERKAITAN: Pasangan Kelantan-Sudan beraya di Madinah, tapi si isteri terkilan ramai ada foto raya OOTD... “Tergantung je la baju tu”

Hanya ingin dikenali sebagai Naufal, suami berusia 39 tahun itu mengakui masih lagi berharap dikurniakan rezeki anak namun sudah reda seandainya itu ketentuan Allah.

"Saya sebenarnya dah tahap reda, kalau Allah tak bagi saya tawakal sahaja. Tapi masih berharap, doa wajib ada.

"Saya fikir, mungkin Allah tak bagi sebab dosa saya sebelum ini, atau mungkin belum lunas lagi tanggungjawab kami dalam rumah tangga.

"Lepas dua tahun kahwin, isteri pernah keguguran. Masa tu tahun 2016. Lepas tu keguguran lagi sekali pada tahun sama juga," ujarnya sewaktu dihubungi mStar.

Bila keluarga kongsi kisah gembira dengan anak masing-masing, kami hanya mampu baca dan perhati, isteri saya pernah left group (WhatsApp) sebab kecewa dan sedih.

NAUFAL

Menurut Naufal, tekanan orang sekeliling bagaikan menjadi lumrah khususnya apabila berkumpul bersama keluarga dan sanak saudara.

Katanya lagi, masyarakat juga cenderung untuk meletakkan kesalahan di atas bahu wanita apabila berbicara mengenai soal kesuburan dan zuriat.

"Saudara mara yang bising, lebih sudu dari kuah. Bila adik beradik berbual bab masa depan dengan anak masing-masing, saya akan cakap plan kami cari rumah orang tua termewah.

"Kalau ada kenduri dan perhimpunan keluarga dan saudara mara, lagi awkward sebab dalam semua cucu nenek saya, hanya saya yang tak ada zuriat, hebat tekanan untuk isteri saya.

"Bila keluarga kongsi kisah gembira dengan anak masing-masing, kami hanya mampu baca dan perhati, isteri saya pernah left group (WhatsApp) sebab kecewa dan sedih," dedahnya lagi.

Persoalan mengenai zuriat sering diajukan oleh sanak saudara dan orang luar. FOTO: EPA.

Bercerita lanjut mengenai isterinya yang kini berusia 40 tahun, Naufal berkata perkahwinan mereka merupakan aturan keluarga.

"Saya tak kenal pun dia. Jumpa dua tiga kali sahaja sebelum kahwin. Kami kahwin dengan perasaan kosong.

"Lepas tiga tahun baru ada rasa, nak wujudkan rasa, kita kena banyak memberi untuk isteri. Nafkah zahir, batin, kena bagi dua-dua baru dapat ikatan hati.

"Alhamdulillah tak pernah bergaduh sepanjang tujuh tahun kahwin. Kami juga amalkan solat berjemaah," katanya lagi.

Dalam pada itu, Naufal yang sudah beberapa tahun berkecimpung sebagai penceramah berkaitan hal ehwal rumah tangga mengakui pernah dipersoalkan kredibilitnya memandangkan dia sendiri tidak mempunyai zuriat.

Tidak terkesan dengan hal itu, dia sebaliknya tenang memberi jawapan bahawa apa yang disampaikan merupakan kefahaman agama yang sudah termaktub dalam ajaran Islam.

Antara komen netizen di ruangan balas posting Naufal.

"Kalau ada perbincangan berkaitan anak, selalunya bila saya beri pendapat, orang yang tak boleh terima pendapat akan kondem dengan cakap tak de anak, bolehlah cakap macam tu, cuba ada anak, baru tahu rasa macam mana.

"Pernah orang pertikai, tapi saya tak paksa dia ikut apa yang saya sampaikan. Tapi saya bercakap berdasarkan agama Islam," jelasnya.

Menurut Naufal, keluarganya juga pernah memberi cadangan agar dia mencari isteri lain.

Tidak menolak poligami, Naufal bagaimanapun tidak mahu mencari pengganti kerana risau tidak boleh berlaku adil khususnya dari segi kasih sayang.

Malah kata Naufal, dia berpegang kepada Surah An-Nisa ayat 129 yang berkisar mengenai keadilan suami terhadap isteri-isteri.

Katanya lagi, dia dan isteri ada membuat pemeriksaan kesihatan dan mendapati kedua-dua mereka subur dan tidak mempunyai sebarang masalah.

Perkongsian Naufal di Twitter sehingga kini menerima lebih 21,000 ulang kicau (Retweet).

Malah, ramai netizen turut meninggalkan komen positif dan berharap Naufal bersabar dan mendoakan agar dia dikurniakan cahaya mata suatu hari nanti.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
Rumah tangga, zuriat, kesuburan, mandul

Artikel Lain