suria

Suami kongsi kisah tragis di sebalik pokok bentuk love di kubur ‘bidadari’, “Kalau dia dah tak ada tolong jangan beritahu saya”

Faizul semasa mengunjungi pusara isteri dan anaknya.

KEHILANGAN isteri bersama anak yang dikandung tujuh bulan ternyata memberi kesan kepada ahli keluarga terutamanya insan bergelar suami.

Biarpun pemergian Noorizzati Danialaffendi dan anak ketiganya sudah lebih setahun berlalu, detik-detik terakhir bersama isterinya masih segar di ingatan Faizul Susanto sehingga ke hari ini.

Malah setiap kali terkenang perkara itu, bapa kepada tiga anak ini akan menulis coretan luahan hatinya di Facebook.

Namun paparan komen Faizul di Facebook mengenai kisah dia menanam uri bersama jenazah isteri dan bayi ketiganya dalam satu liang lahad, berserta kubur yang dihiasi pokok berbentuk 'love' menyentuh hati netizen dan tular di Twitter.

ARTIKEL BERKAITAN: Bercinta 9 tahun, isteri meninggal selepas 3 bulan kahwin, 4 hari sebelum honeymoon ke Maldives, “Tiada pesanan terakhir cuma ucapan...”

ARTIKEL BERKAITAN: “Saya rasa dia boleh sembuh…” - Suami terkilan baju raya ditempah untuk isteri hanya tinggal kenangan

Paparan skrin itu yang dikongsi Nabilfikran10 mendapat 25,200 ulang kicau dan 15,800 tanda suka.

Paparan komen Faizul menjadi tular di Twitter.

Faizul ketika dihubungi mStar berkata dia menanam pokok berbentuk hati itu di kubur arwah isteri dan anak ketiganya sebagai simbolik kasih sayangnya terhadap mereka.

"Orang kata sebagai simbolik cinta. Saya buat sendiri. Saya tanam dan biarkan lima hingga enam bulan, lepas tu saya potong buat bentuk love.

"Tapi sebelum buat tu saya minta pandangan mufti dan ustaz. Mereka kata tak salah kalau nak buat untuk lawakan kubur, cuma mereka pesan jangan buat bentuk syirik," katanya.

Malah Faizul menganggap coretan luahan hati untuk arwah isterinya sebagai suatu yang normal bagi mereka yang pernah mengalami nasib sepertinya.

"Waktu dia ada saya rasa nak bergaduh dengan dia. Saya tak endahkan dia bila saya penat balik kerja. Yalah normal perempuan tengah mengandung hormon dia nak mengada tapi itulah sebab saya fikir selalunya ada hari esok.

"Bila dia tak ada memang saya menyesal sangat-sangat. Sampaikan saya hilang arah, hilang segala-segalanya. Tulang rusuk saya ni seolah-olah semua patah. Saya rasa seperti mahu pergi sekali dengan dia," katanya.

Gambar kenangan raya bersama arwah isterinya.

Ujar pemuda berusia 32 tahun itu, isterinya meninggal dunia akibat komplikasi darah tinggi manakala anak ketiganya gagal diselamatkan sebelum pembedahan segera dilakukan pada 17 Mei tahun lalu.

"Bila wife mengandung anak ketiga kami dia kerap keluar masuk hospital. Kadang sebulan sampai dua kali sebab komplikasi darah tinggi yang teruk tapi kandungan sebelum ini tak ada apa-apa masalah.

"Pada 13 Mei 2018 wife masuk Hospital Kajang sebab bacaan darah tinggi tak bagus lepas tu saluran uri makin sempit. Jadi doktor terpaksa buat emergency c-zer. Tapi doktor beritahu awal-awal ibu atau anak yang akan selamat.

Masa tu terlintas dekat kepala janganlah ini pelukan terakhir. Masa dia peluk tu terasa dia peluk saya kuat. Bila lerai je pelukan, dia kata awak balik tidurkan anak-anak... tolong baca Yassin untuk saya, biar saya tenang. Itulah last hint sebelum dia pergi.

FAIZUL SUSANTO

"Pukul 12.50 pagi hari terakhir wife diserang darah tinggi. Doktor buat emergency c-zer pukul 5 pagi tapi anak dah meninggal dalam perut. Wife dimasukkan ke ICU tetapi keadaan dia nazak sebelum disahkan meninggal dunia pada pagi 17 Mei 2018," katanya.

Faizul berkata ketika itu dia bagaikan tidak percaya bahawa isterinya benar-benar pergi meninggalkan dia dan dua anak mereka.

"Bila doktor minta saya masuk dewan bersalin masa tu saya memang rasa tak sedap hati sangat. Saya cakap dekat adik saya tolong masuk tengok kakak. Kalau dia dah tak ada tolong jangan beritahu saya.

Gambar kenangan arwah bersama suami dan dua anaknya.

"Tapi adik saya keluar, mata dia merah dan dia geleng kepala. Waktu tu saya rasa dunia saya betul-betul gelap. Saya masuk dalam bisik dekat telinga wife minta bawa saya bersama dia sebab saya tak sanggup kehilangan dia.

"Namun saya tersentak apabila terbayang muka dua lagi anak saya. Saya kuatkan diri. Saya beritahu wife 'awak pergi lah dengan tenang jangan bimbang pasal anak-anak'," kata Faizul sambil mendedahkan dia mengambil cuti sebulan selepas kematian isterinya itu.

Jelas Faizul, isterinya itu turut memberikan beberapa petunjuk sebelum pemergiannya pada bulan Ramadan tahun lalu.

"Dua bulan sebelum dia meninggal, sepanjang kami berkahwin dia tak pernah borak pasal kematian. Dia kata kehamilannya kali ini amat berisiko jadi jika apa-apa berlaku kepada dia dan anak dia minta saya semadikan mereka dalam satu liang lahad dekat kampung.

"Dia juga tak nak beli barang baby. Dia tak excited macam pregnant pertama dan kedua sehinggakan stokin baby pun dia tak beli. Saya ada cakap kat dia nak beli pampers baby, dia kata tak payah membazir, siapa nak pakai. Masa tu saya dah rasa pelik.

"Dua hari sebelum dia meninggal saya melawat dia, Subhanallah... muka dia berseri sangat. Saya gurau dengan dia duduk hospital pun nak melawa buat apa. Lepas tu dia cakap kalau nak tengok muka bidadari macam ni lah. Saya terkesan sangat-sangat bila dia cakap macam tu," katanya.

Faizul bersama dua anaknya semasa sambutan Aidilfitri yang lalu.

Namun apa yang meruntun hati Faizul apabila pelukan isterinya beberapa hari sebelum dia meninggal merupakan pelukan terakhir wanita dicintainya itu.

"Saya dah datang melawat dia pukul 6 petang dan bila sampai je rumah saya terus WhatsApp dia. Tiba-tiba dia call... 'saya minta tolong dekat awak last, siapkan anak-anak pakai cantik-cantik dan guna minyak wangi saya suka.

"Masa dia letak phone tu saya sebak. Sampai je hospital dia cakap dengan anak-anak. Anak-anak pun macam faham mama mereka nak pergi. Last sekali dia bangun dan minta saya peluk dia. Sepanjang kahwin saya tak pernah peluk dia depan anak-anak atau orang ramai.

"Masa tu terlintas dekat kepala janganlah ini pelukan terakhir. Masa dia peluk tu terasa dia peluk saya kuat. Bila lerai je pelukan, dia kata awak balik tidurkan anak-anak... tolong baca Yassin untuk saya, biar saya tenang. Itulah last hint sebelum dia pergi," katanya sebak.

Jenazah Noorizzati dan anak ketiganya dikebumikan di kampungnya di Felda Triang Bera, Pahang atas permintaan arwah.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain