suria

“Saya rasa katil penimbang itu juga mahu menjerit” - Doktor ‘kecewa’ terpaksa berdepan pesakit yang diharapkan tiada, rayu jangan binasakan diri

Gambar hiasan. Anggota Balai Bomba dan Penyelamat bersama pembantu perubatan membantu mengangkat seorang lelaki obesiti.

TEMPIAS merawat seorang pesakit yang mengalami morbid obesiti memberi 'keinsafan' kepada seorang doktor wanita.

Dr Nur Ilyani Bujang berkongsi pengalaman seorang pesakit baharu yang mempunyai berat badan 309 kilogram.

Menurut doktor yang bertugas sebuah hospital kerajaan ini, dia tidak ada niat untuk memalukan sesiapa atau menghina individu berbadan besar, tetapi ada perkara lebih penting perlu difahami oleh orang ramai.

ARTIKEL BERKAITAN: Dulu saiz XXL , kini saiz S... guru akui masyarakat pandang rendah individu gemuk

ARTIKEL BERKAITAN: Kerusi pesawat terasa kecil, lelaki ini demam sebab berhenti makan nasi gara-gara nak kurus, “Sekarang keluarga risau tengok saya kecil dari dulu”

Dr Nur Ilyani berkongsi pengalaman penuh bermakna itu di Facebooknya.

"Beberapa hari lalu, kami dapat kemasukan pesakit baru ke ICU yang telah memecahkan rekod berat badan paling tinggi. Sebelum ini saya ingatkan 220 kilogram (kg) adalah rekod yang tertinggi, dan berdoa supaya rekod ini tidak dipecahkan.

Individu yang mengalami obesiti perlu mengawal pemakanan untuk kesihatan diri sendiri.

"Jangkaan saya meleset. Umurnya masih muda remaja. Tetapi badannya amat besar sehinggakan apabila dia sakit pihak ambulan pun tidak dapat membantu membawanya ke hospital.

"Maka abang-abang sado bomba dan penyelamat pergi ke rumahnya dan memecahkan pintu serta dinding. Dia kemudiannya diangkat menggunakan karpet oleh sepuluh orang abang bomba menaiki kenderaan khas ke hospital.

"Mujurlah karpet itu tak koyak. Jika tidak, pasti dia tergolek ke atas lantai," tulisnya dalam satu posting yang kemudian tular.

Bagaimana nak diuruskan, dimandikan, dikafankan, dan digali kuburnya yang besar?

DR NUR ILYANI BUJANG

Jelas Dr Nur Ilyani lagi, pasukannya hampir menangis pertama kali melihat pesakit mereka itu.

"Kerana kami tahu cabaran ini yang tidak pernah terjangkau dek akal. Besarnya dia sehingga katil ICU itu tidak boleh menampung sehingga tangannya perlu diletakkan di atas meja kecil di kiri dan kanan.

"309kg! Saya rasa katil penimbang itu juga mahu menjerit. Urat-urat salur darah semuanya tidak nampak sehinggakan kami perlu menebuk salur darah di lehernya untuk memasukkan ubat.

"Itu pun sangat sangat sukar kerana lehernya sudah tiada. Dagunya mencecah dada.

Dr Nur Ilyani berkongsi gambar selepas melakukan senaman.

Dr Nur Ilyani berkata, untuk mengelap dan memusingkan badannya sahaja sekurang-kurangnya sepuluh staf diperlukan.

"Saya terfikir, seandainya kami gagal membantu dia melawan penyakit dan segala komplikasi morbid obesiti ini dan akhirnya jantung dia terhenti, bagaimana harus saya CPR dia?" soal Dr Nur Ilyani mengenai berat badan serius yang dialami pesakitnya itu.

Namun apa yang menarik perhatian pembaca apabila Dr Nur Ilyani terdetik sekiranya pesakitnya itu tidak dapat diselamatkan akibat penyakit obesiti.

"Bagaimana harus jenazahnya diuruskan?

"Apakah perlu abang bomba dipanggil sekali lagi? Tidak mungkin, kerana abang bomba perlu mengutamakan yang bernyawa. Bagaimana nak diuruskan, dimandikan, dikafankan dan digali kuburnya yang besar?

"Bagaimana harus jenazah diturunkan ke liang lahad?. Bagaimana jika Allah tanya 'Mengapakah kamu meletakkan diri kamu ke lembah kebinasaan?'.

Sebahagian daripada komen-komen palayar Facebook mengenai posting yang dimuat naik oleh Dr Nur Ilyani Selasa lalu.

"Allahu Akhbar. Tak terjangkau di fikiran saya kesemua ini," luahnya.

Menurut Dr Illyani sebaik tugasnya di hospital berakhir, dia terus pulang ke rumahnya dalam keadaan penat.

"Pulang dari 'on call' pagi ini, saya terus menyarungkan kasut sukan dan pergi berlari walaupun minda saya letih setelah 24 jam tidak berehat dan badan saya lesu.

"Saya gagahkan diri. Hanya ini sahaja sedikit masa yang saya ada sebelum saya pergi mengambil anak-anak sekejap lagi. Saya bukan pelari yang hebat. Boleh dikatakan saya lebih banyak berjalan dari berlari.

"Tapi saya harus paksa diri untuk aktif. Saya tak boleh malas bergerak.

"Saya saksikan bagaimana kesan perbuatan tidak sihat yang dilakukan sehari hari membinasakan badan sendiri.

"Tidak niat saya untuk memalukan sesiapa. Tidak niat saya menghina yang besar.

"Tetapi tolonglah... saya merayu. Untuk perawat seperti kami membantu, anda perlu membantu diri anda sendiri.

"Jangan letakkan diri anda ke lembah kebinasaan," tulisnya.

Dalam pada itu, rata-rata pelayar Facebook turut berkongsi posting Dr Nur Illyani itu dan meninggalkan komen-komen yang positif.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
Dr Nur Illyani, obesiti, bersenam

Artikel Lain