suria

Kerusi pesawat terasa kecil, lelaki ini demam sebab berhenti makan nasi gara-gara nak kurus, “Sekarang keluarga risau tengok saya kecil dari dulu”

Abam ketika gemuk (kiri) dan saiz terkini dirinya selepas lima bulan mengamalkan diet dan bersenam.

“SAYA faham macam mana perasaan orang gemuk. Bukan sahaja susah bergerak, kadang-kala boleh mengganggu orang lain,” luah seorang pemuda yang mempunyai berat badan 120 kilogram (kg) sebelum ini.

Sejak kecil lagi Luqman Hakimi Hamdan dikategorikan sebagai kanak-kanak obesiti sehinggalah usianya meningkat remaja.

Menurut Luqman atau lebih mesra disapa Abam yang kini berusia 22 tahun, niatnya untuk menguruskan badannya sudah lama dipendam, namun ia tidak pernah diusahakan.

ARTIKEL BERKAITAN: Dulu saiz XXL , kini saiz S... guru akui masyarakat pandang rendah individu gemuk

ARTIKEL BERKAITAN: Lelaki melepas gadis cun yang dulu ditolaknya sebab gemuk, “Saya dah tak ingin kat dia”

Bagaimanapun selepas berat badannya mula mencecah 120kg, dia mula risau dengan ‘kehadiran’ pelbagai penyakit.

Anak sulung daripada tiga orang adik beradik ini akhirnya mengambil serius nasihat doktor yang memintanya menurunkan berat badan jika inginkan kehidupan yang sihat.

Abam ketika berat badannya 120kg.

“Kedua ibu bapa saya bersaiz normal. Tetapi saya dan dua orang adik beradik lagi gemuk sejak kecil. Maklumlah mak dan ayah suka masak. Jadi kami makan tanpa had.

“Ketika usia 17 tahun berat badan saya semakin menjadi-jadi naik sehinggalah saya dapat sambung belajar di UKM (Universiti Kebangsaan Malaysia) dalam Jurusan Kejuteraan Elektrik.

“Tetapi dalam masa sama, kesihatan saya mula merosot. Penyakit darah tinggi, gout mula menghimpit hidup saya,” kongsinya bersama mStar.

Doktor beritahu penyakit darah tinggi dan gout hanya boleh dikawal apabila saya mengawal berat badan sendiri.

LUQMAN HAKIMI HAMDAN

Menurut Abam, apabila penyakit darah tingginya semakin serius, doktor mula memberi ‘ubat’ yang yang disifatkan paling menyentuh hatinya.

“Doktor beritahu darah tinggi, gout akan berkurangan dan sembuh apabila saya pandai mengawal berat badan sendiri, saya perlu bantu diri sendiri... dalam masa sama saya juga mengalami sesak nafas ketika tidur.

“Itu belum tidur berdengkur lagi. Tinggal di kolej membuatkan saya agak segan untuk tidur dengan rakan-rakan sebilik. Mengganggu mereka dengan bunyi dengkuran kuat," katanya.

Abam turut berkongsi tip dan memberi motivasi kepada orang lain untuk kuruskan badan secara sihat.

Selain itu, dia juga berdepan masalah ketika menaiki pengangkutan awam, terutamanya kapal terbang.

“Yalah, kerusi pesawat kecil bagi saya yang berbadan besar ini dan membuatkan orang lain tidak selesa," katanya.

Justeru, pada awal Februari lalu, Abam yang kini sedang menjalani latihan industri di Rawang nekad untuk menguruskan badan.

Menurut Abam, bulan pertama adalah satu tempoh sukar buatnya, khususnya dalam mengawal pemakanan harian.

“Saya berhenti makan nasi secara mengejut menyebabkan saya demam. Selepas itu saya mula buat ‘research’ sendiri cari diet yang sesuai dan sihat.

“Saya hanya makan sayur-sayuran, buah-buahan dan banyak minum air kosong, tapi dalam seminggu ada juga ‘cheat day’. Dalam masa sama saya juga bersenam.

Komen-komen netizen terhadap status Abam.

“Alhamdullilah dalam lima bulan saya dapat turunkan berat badan sebanyak 42kg.

“Sekarang ni, saya dapat rasa badan jadi ringan dan sihat. Yang penting sikap keyakinan diri tu semakin tinggi,” katanya.

Dengan saiz badan yang semakin mengecil berbanding sebelum ini, Abam mengajak kawan-kawannya yang bersaiz besar untuk sama-sama mengamalkan pemakanan yang seimbang.

Abam mengambil keputusan untuk diet demi kesihatan dirinya.

“Saya faham perasaan orang yang berbadan gemuk ini. Jadi sekarang kalau nampak orang gemuk, dalam hati saya memang nak ajak ‘join’ saya sama-sama turunkan berat badan.

“Mungkin saya akan kekalkan berat badan dalam lingkungan 70-75kg. Mak, ayah dan nenek pun sekarang sudah risau dengan saiz badan saya yang sudah kecil dari dulu.

“Apa yang penting bagi saya adalah disiplin. Kalau tak ada disiplin, memang niat untuk kurus hanya tinggal niat sahaja,” ujarnya yang turut berkongsi tip dan motivasi untuk menurunkan berat badan di laman Twitternya dengan mendapat lebih 3,000 ulang kicau.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
gemuk, kurus, penyakit, diet

Artikel Lain