suria

Liverpool juara punya pasal, penyokong tawar diskaun jualan raya hingga awal pagi, “Jangan main-main bila orang gembira ni”

Nora (kiri) bersama majikannya meraikan kemenangan Liverpool merangkul trofi Liga Juara-Juara dengan menawarkan diskaun untuk produk wangian. Foto ihsan Nora A.Bakar/Reuters

NAMPAKNYA penyokong Liverpool ‘senyum sampai ke telinga’ apabila skuad bimbingan Jurgen Klopp apabila muncul juara Eropah selepas menumpaskan Tottenham Hotspur dengan 2-0 di Madrid, awal pagi Ahad.

Ia merupakan kejuaraan Eropah keenam buat The Reds, namun yang pertama sejak kali terakhir muncul juara 2005.

ARTIKEL BERKAITAN: Siswa terbang ke Paris untuk mengopi rupanya parodi, tapi siapa tahu mungkin lepas ni ke Manchester tengok bola!

ARTIKEL BERKAITAN: Suami dah bagi peringatan, tapi peminat Arsenal ini nekad terbang solo ke Azerbaijan tonton final Liga Europa, “Kalau kalah, tak kisahlah”

Keterujaan itu turut dirasai para penyokong Liverpool di Malaysia sehingga ada yang sanggup berkongsi kegembiraan tersebut bersama orang lain.

Liverpool menjadi juara buat kali ke-6 dalam Liga Juara-Juara.

Tular di laman sosial sejak pagi Ahad apabila seorang wanita yang begitu gembira dengan kemenangan Liverpool dalam aksi final Liga Juara-Juara, menawarkan jualan murah untuk produk wangian.

“Sis amat gembira tahun ini sebab akhirnya Liverpool juara UCL kali ke-6. Sis nak buat jualan lah sehingga tutup kedai malam ni pukul 3 pagi.

“Diskaun raya RM40 tambah diskaun kemenangan 2-0 (RM20). Bermakna diskaun RM60 daripada harga kedai bagi barangan bernilai RM200 ke atas. Jangan main-main bila orang gembira ni,” menurut perkongsian di laman sosial.

Kegembiraan para penyokong The Reds di Stadium Stadium Wanda Metropolitano di Madrid, Sepanyol. Foto Reuters

Wanita yang ceria pada Ahad itu, Nora A. Bakar berkata, dia sebelum ini tidak begitu mengikuti sukan bola sepak sehingga bekerja di kedai wangian yang diusahakan majikannya sejak tiga tahun lalu.

Peniaga berusia 38 tahun itu memberitahu, majikannya iaitu Mohd Amin Mohamed, 39, merupakan seorang penyokong tegar Liverpool sejak usianya 10 tahun.

“Dulu saya tak berapa sangat dengan bola sepak, pasukan kegemaran pun tak ada. Tapi majikan saya ni begitu tegar menyokong Liverpool, sampai saya pun terpengaruh.

“Dari tak berapa suka sangat, sehingga terus jatuh cinta. Setiap kali ada perlawanan Liverpool je memang tengok. Kalah atau menang itu lain kira, yang penting sokong,” kata peminat Mohamed Salah itu kepada mStar.

Mohamed Salah menjulang trofi Liga Juara-Juara. Foto Reuters

Sementara itu, majikan Nora iaitu Mohd Amin pula berkata, ia bukan kali pertama kedainya yang terletak di Uptown Puchong Night Bazaar di Puchong, Selangor menjadikan kemenangan Liverpool sebagai sebahagian daripada strategi pemasarannya.

Dari tak berapa suka sangat, sehingga terus jatuh cinta. Setiap kali ada perlawanan Liverpool je memang akan tengok, kalah atau menang itu lain kira. Yang penting sokong

NORA

“Ini kali kedua, yang pertama pada awal bulan ini apabila Liverpool menewaskan Barcelona dengan 4-0 di Anfiled dalam perlawanan separuh akhir kedua Liga Juara-Juara.

“Saya gembira dengan kemenangan itu sebab Liverpool mara ke final. Sebab gembira sangat, kami tawar diskaun RM40 sempena mata 4-0 selama dua hari,” katanya yang mula mengusahakan perniagaan wangian sejak tujuh tahun lalu.

Nora (kanan) melayan pelanggan di premis di Uptown Puchong Night Bazaar di Puchong, Selangor.

Menurut Mohd Amin, tawaran diskaun istimewa itu terbuka kepada semula pelanggan tanpa mengehadkan hanya penyokong Liverpool semata-mata.

Mengenai tawaran ‘Liverpool menang’, Nora berkata, ia sah sehingga waktu operasi kedai berakhir pada pukul 3 pagi Isnin (3 Jun 2019).

Bagi penghantaran, tambahnya, bayaran perlu dilakukan pada Ahad dan barang hanya akan dipos pada 12 Jun berikutan cuti sempena Aidilfitri.

“Nak pos Isnin pun boleh tapi takkan lah nak simpan perfumes dalam gudang Pos Laju selama seminggu kan,” ujarnya secara berseloroh.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain