suria

Sedih pelajar OKU sering diejek pakai baju buruk, tudung senget, jadi mangsa langgar lari, kehidupannya di rumah lebih tragis!

Adik Maisarah kini telah stabil dan dijaga oleh ketua komuniti di Simpang Renggam, Johor.

KES buli semakin membimbangkan dalam kalangan pelajar, ia bukan sahaja memberi kesan kepada fizikal, malah terhadap mental serta emosi.

Baru-baru ini, tular insiden kemalangan langgar lari yang melibatkan seorang ibu dan anak perempuan yang mempunyai masalah pembelajaran (slow learner), dalam kejadian di Simpang Renggam, Johor sehingga menyebabkan kedua-duanya dimasukkan ke hospital.

Kanak-kanak tersebut yang hanya dikenali sebagai Siti Maisarah, kini dikatakan semakin stabil selepas mengalami koma akibat pendarahan di kepala selama tiga hari.

ARTIKEL BERKAITAN: Kanak-kanak OKU juga peminat fanatik JDT teringin jumpa TMJ

ARTIKEL BERKAITAN: Netizen geram mahu 'pijak' remaja buli warga tua... apa yang berlaku mengejutkan ramai

Rata-rata pengguna Facebook melahirkan rasa simpati menerusi ruangan komen di posting berkenaan.

Di sebalik kejadian yang menimpa keluarga Siti Maisarah, siapa sangka tersimpan satu kisah yang sungguh meruntun hati.

Seorang wanita yang tinggal di Simpang Renggam, yang enggan identitinya dikenali menceritakan tentang kisah pelajar berusia 13 tahun itu yang didakwa sering diejek rakan- rakan sekolahnya.

"Anak perempuan saya satu sekolah dengan Maisarah dan kebetulan mereka sebaya. Dia ada cerita pada saya yang Siti Maisarah ni seorang slow learner, selalu kena ejek di sekolah sebab bajunya yang buruk dan pakai tudung pun senget.

"Sampaikan tak ada seorang pun yang nak berkawan dengannya dan dia pun selalu keseorangan di sekolah," ujarnya ketika dihubungi mStar.

Tambahnya lagi, hanya kerana dirinya yang tidak sempurna dan hidup miskin, dia terpaksa berdepan dengan ejekan rakan-rakan sekolahnya yang menggelarkan dirinya 'Budak Sambal Jongos'.

Bapa kepada Siti Maisarah berada di sisinya ketika dia mengalami koma selama tiga hari sejak Sabtu lalu.

Keluarga Siti Maisarah yang serba kekurangan itu juga terpaksa bergantung pada ibunya sahaja yang hanya bekerja sebagai penjual makanan di kantin sekolah.

"Ayah dia sekarang dalam keadaan uzur dan pergerakannya pun terbatas disebabkan usianya dah menjangkau 93 tahun.

"Sejak dia dan ibunya terlibat dalam kemalangan, mereka sekeluarga tiada punca pendapatan sebab ayahnya memang tidak bekerja.

"Maisarah sekarang ini dijaga oleh Ketua Wanita PKR Cabang Simpang Renggam, Nur Khurul Ain Abd Samat kerana tiada siapa yang mampu menjaganya," katanya.

Anak perempuan saya satu sekolah dengan Siti Maisarah dan kebetulan mereka sebaya. Dia ada cerita pada saya yang Siti Maisarah ni seorang slow learner, selalu kena ejek di sekolah sebab bajunya yang buruk dan pakai tudung pun senget.

PENDUDUK SIMPANG RENGGAM

Lebih memilukan, ibu kepada Maisarah masih ditahan di Hospital Besar Hajjah Kalsom, Johor akibat patah tulang kaki dan tidak mampu bekerja buat masa ini.

Dia juga memberitahu ramai pihak memberikan sokongan dan bantuan kepada Maisarah sekeluarga termasuk komuniti di Simpang Renggam dan guru-guru di sekolahnya.

Menurutnya, anak perempuannya ada memberitahu rakan-rakan di sekolah mula meluahkan rasa sesal atas tindakan mereka membuli dan mengejek Siti Maisarah sebelum ini.

Posting mengenai Siti Maisarah yang tular itu telah dimuat naik di laman Facebook sehingga mendapat kira-kira 4,400 perkongsian.

Rata-rata pengguna Facebook memberi pelbagai reaksi dan amat bersimpati atas kejadian yang menimpa Siti Maisarah sekeluarga.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain