suria

Peguam wanita nak bantu abang botak, “Muka saya macam bodoh je, tapi pernah bebaskan lelaki dihukum penjara 15 tahun”

Abang Botak.

BERSIMPATI dengan nasib abang botak yang dijatuhi hukuman penjara 12 bulan kerana memecahkan cermin hadapan sebuah kereta menggunakan topi keledarnya pada Selasa lalu, seorang peguam tampil mahu membantu pemuda itu untuk mengemukakan permohonan rayuan terhadap hukuman yang dikenakan ke atas lelaki itu.

Peguam tersebut, Suzana Norlihan Ujen menyifatkan hukuman penjara yang dikenakan terhadap Danial Abdullah Tan, 31, sebagai tidak adil.

Beliau berkata, tindakan itu dilakukan bukan disebabkan menyokong perbuatan pemuda terbabit tetapi sekadar mahu menegakkan keadilan buat dirinya.

“Saya nak merayu sebab saya nak masyarakat tahu bahawa jika Lan Pet Pet boleh dapat denda RM2,000 pukul guard, kenapa abang botak tak boleh. 

“Bukan nak jadikan abg botak tu hero. Tapi nak tegakkan keadilan yang makin pupus kat Malaysia ni,” tulisnya di Facebook.

ARTIKEL BERKAITAN: Abang botak dipenjara 12 bulan, “Dia tunjuk jari kepada saya”

ARTIKEL BERKAITAN: Abang botak ditahan, motosikal dan helmet dirampas

ARTIKEL BERKAITAN: Garangnya! Bengang kena hon, abang botak hayun helmet hentak cermin kereta... semuanya dirakam

Suzana membuat perbandingan kes yang menimpa Danial dengan hukuman denda yang dikenakan terhadap pelawak Lan Pet Pet atas kesalahan memukul seorang pengawal keselamatan yang juga warga emas pada April lalu.

Suzana bersama anak guam yang diwakilinya secara percuma berjaya dibebaskan dan dilepaskan dari hukuman penjara 15 tahun dan 10 sebatan.

Danial yang mengenakan kemeja -T berkolar kuning hitam hanya mampu mengalirkan air mata ketika membuat pengakuan bersalah terhadap pertuduhan itu yang dibacakan di hadapan Majistret, Nurshahira Abdul Salim.

Mahkamah turut menetapkan hukuman itu berkuatkuasa dari tarikh dia ditahan.

Ketika ditanya mahkamah puncanya melakukan perbuatan itu, tertuduh menjelaskan pemandu kenderaan terbabit cuba menghimpitnya bersama seorang lagi pembonceng motorsikal sebanyak dua kali.

"Puncanya apabila dia (pengadu) hendak melanggar dan menghimpit saya hingga ke haluan bertentangan. Saya cuba menghentikannya untuk berbincang, namun dia menunjukkan tanda jari hingga menyebabkan saya melakukan tindakan itu,” katanya dengan nada sebak.

Sementara itu, Suzana turut menolak bantuan mana-mana pihak yang mahu membayar yuran guaman untuk mengemukakan rayuan hukuman dikenakan terhadap pembantu stor terbabit.

“Insyaallah saya cuba appeal kes abg botak. Ada yang mesej saya kata nak bayarkan fee saya bantu dia.

“Saya tak nak dan saya bukan miskin sangat pun. Tak kaya tapi masih cukup makan,” katanya.

Suzana juga pernah memberitahu dia berjaya membebaskan seorang lelaki daripada hukuman penjara 15 tahun dan 10 sebatan.

“Ramai peguam kata mustahil saya boleh lepaskan dia terus dan batalkan sabitan dan hukuman ke atas dia. Peguam-peguam junior pun lihat saya ni sebelah mata je. Mana taknya. Kalau tengok saya, semua tak confident sebab muka saya tak macam umur 43 tahun dan macam bodoh je.

“Tetapi, Allah Maha Berkuasa. Saya berjaya lepaskan dan bebaskan lelaki tersebut dari keseluruhan hukuman dan keputusan kesnya secara keseluruhan didapati adalah salah. Kira tak sah la hukumannya tu,” katanya.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
Abang Botak, Lan Pet Pet

Artikel Lain