suria

Isteri dedah suami trauma kemalangan dua tahun lalu, "Tu dia naik angin... kami minta maaf"

Lelaki (biru) menampar dan menumbuk seorang pemandu wanita di Jalan Dato Keramat Rabu lalu.

"KALAU ada peluang, kami nak jumpa dan minta maaf. Cuma sekarang isu masih panas," ujar isteri kepada lelaki yang video dia memukul seorang wanita tular di media sosial pada Rabu lalu.

Kisah ini kecoh apabila sebuah rakaman video menunjukkan seorang lelaki bertindak menampar dan menumbuk muka seorang pemandu wanita di Jalan Dato Keramat, Kuala Lumpur tersebar dan mendapat perhatian ramai.

Selepas suaminya ditahan reman, isteri lelaki tersebut, Faridah Mohd Yatim,38, memberitahu mStar bahawa dia berniat untuk berjumpa dengan mangsa untuk meminta maaf.

ARTIKEL BERKAITAN: “Kaulah bodoh, kaulah gila” punca wanita makan penumbuk? Isteri kongsi versi penuh kisah suami tumbuk pemandu tak bagi 'signal'

ARTIKEL BERKAITAN: Kecoh video tular lelaki tumbuk, tampar wanita di tengah jalan

"Saya cuba mencarinya tetapi tidak tahu maklumat penuh wanita itu. Kalau boleh saya bersama suami ingin meminta maaf di atas apa yang terjadi.

"Suami saya sedar apa yang dilakukan itu agak keterlaluan, lagi-lagi terhadap seorang wanita.

Faridah berkongsi gambar suaminya yang tercedera akibat sifat lalai pemandu kereta dua tahun lalu.

"Cuma biarlah isu ini reda dulu dan pihak berkuasa lakukan siasatan. Suami saya pun dah mengaku bersalah.

"Kalau boleh saya tidak mahu memanjangkan perkara ini, tapi biarlah apa yang berlaku menjadi pengajaran kepada semua orang termasuk suami sendiri," ujarnya ketika dihubungi pada Ahad.

Faridah sekali lagi menjelaskan tindakan suaminya yang bekerja sebagai chef itu berpunca daripada trauma dengan situasi sama yang menyebabkan dia alami kecederaan dan patah tangan sebelum ini.

"Dua tahun lalu dia mengalami kecederaan dan patah tangan disebabkan sikap lalai pemandu kereta, sebab itulah bila berlaku insiden Rabu lalu, dia naik angin.

"Malah saya sendiri tidak sanggup nak tengok dia sakit kemalangan lagi. Cukuplah sekali tu," tambahnya.

Dalam pada itu, Faridah mengakui dia cuba bersedia dari segi mental untuk mendengar hukuman yang bakal dikenakan terhadap suaminya kelak.

"Tarikh perbicaraan belum diberitahu lagi, cuma saya sudah bersedia sekiranya dia dijatuhkan hukuman kerana kesalahan menumbuk serta menampar wanita itu.

"Semua saya serahkan kepada budi bicara pihak mahkamah," jelasnya yang mempunyai seorang anak lelaki berusia 11 tahun.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
Pukul pemandu wanita, minta maaf

Artikel Lain