suria

"Sebulan murung, tapi pekerja Nepal sedarkan saya" - Jurugambar dedah kisah di sebalik foto buat 'mata masuk habuk'

Gambar kanak-kanak lelaki ini berjaya menyentuh hati netizen. Foto ihsan Atan Mukri.

KEHILANGAN ibu sejak 16 tahun lalu memberi ilham kepada seorang jurugambar untuk menghasilkan karya fotografi yang memukau dan menjentik emosi netizen.

Bukan sahaja rakyat Malaysia, malahan karya yang dihasilkan secara spontan itu turut tular di negara jiran seperti Vietnam dan Indonesia.

Rata-rata tersentuh hati melihat beberapa gambar yang memaparkan seorang budak lelaki berbaju Melayu putih lengkap bersongkok dan memegang sebekas air dipercayai dalam perjalanan untuk menziarahi pusara ibunya.

Selepas duduk di pusara, tangan kecil itu mula ditadah dan memanjatkan doa kepada Ilahi.

ARTIKEL BERKAITAN: Peliknya atas baldi tu ada bekas kapur barus" - Anak Musa Hassan dedah ibu sempat letak kain kapan di ruang tamu sebelum meninggal

ARTIKEL BERKAITAN: Jurugambar tumpang tuah 'Mowgli Malaysia', ditawar slot pameran fotografi

Seorang kanak-kanak lelaki dilihat membawa jag air menuju ke pusara ibunya. Foto ihsan Atan Mukri

Kemudian kanak-kanak itu dilihat mengesatkan air mata pada baju Melayu yang dipakai ketika membacakan surah Yasin.

Ketika kakinya mula melangkah untuk beredar dia kembali berpaling ke pusara itu lalu mencapai sesuatu di poket baju Melayunya.

Tanpa diduga dia mengeluarkan sekeping surat lama yang tertulis ‘Ibu sayang kamu, jaga diri baik-baik’.

Jurugambarnya, Atan Mukri ketika dihubungi mStar memberitahu karya itu sekadar lakonan yang cuba menyampaikan luahan kesedihan kehilangan ibunya, Fatimah Ujang pada 2003.

“Gambar itu sebenarnya lakonan semata-mata maknanya staging. Sebahagian daripadanya ada kena mengena dengan diri saya.

Atan Mukri menjelaskan foto berkonsep 'staging' ini sekadar lakonan semata-mata. Foto ihsan Atan Mukri

“Saya jelmakan karya itu menjadi satu cerita mengenai betapa sedihnya kehilangan orang yang paling kita sayang,” katanya yang juga anak yatim piatu.

Jelas Atan, sewaktu ibunya meninggal dunia dia mengalami masalah kemurungan selama hampir sebulan.

“Bila ibu saya meninggal, saya sebulan kemurungan. Waktu tu saya kerja kilang. Tapi ada seorang Nepal di tempat saya kerja menyedarkan saya.

“Dia kata setiap orang akan rasa. Hari ini turn abang esok lusa mungkin turn saya pula. Semua orang akan merasainya.

"Kalau terus sedih tak boleh buat apa-apa kerja. Jadi kata-kata dia buat saya kembali bersemangat untuk meneruskan kehidupan,” katanya yang amat rapat dengan ibunya.

Atan Mukri sudah menjadi jurukamera sejak sembilan tahun lalu. Foto ihsan Atan Mukri

Jurugambar berusia 40 tahun itu berkata, karya fotografinya itu dihasilkan secara spontan kira-kira dua minggu lalu.

“Saya tak pernah rancang, tak pernah berbincang tapi petang tu juga jadi. Ia berlaku spontan.

“Tapi lagi sejam nak shoot, saya rujuk guru fotografi untuk tahu tentang mode, lens angle dan komposisi,” katanya.

Ditanya mengenai model cilik dalam gambar tersebut, Atan berkata kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun itu merupakan anak muridnya dalam kelas mengaji.

Model cilik dalam gambar ini sebenarnya anak murid kelas mengaji Atan. Foto Atan Mukri

“Budak tu anak murid saya, nama dia Muhammad Akib. Saya sebenarnya mengajar ngaji petang-petang. Dalam banyak-banyak budak saya tengok dia berbakat.

“Saya pilih dia sebab muka dia selamba dan dia juga jenis mengikut arahan. Satu lagi dia serius. Dia antara model favourite saya,” katanya.

Menurut Atan, pusara dalam gambar tersebut merupakan pusara ibunya yang terletak di Tanah Perkuburan Islam Felda Lurah Bilut, Bentong, Pahang.

Bila ibu saya meninggal, saya sebulan kemurungan. Waktu tu saya kerja kilang. Tapi ada seorang pekerja Nepal di tempat saya kerja menyedarkan saya.

ATAN MUKRI.

Jurugambar dan juruvideo perkahwinan.

“Itu sebenarnya kubur mak saya sendiri dekat Felda Lurah Bilut, Bentong.

“Ibu meninggal akibat sihir dan penyakit kanser tulang ketika saya berusia 24 tahun,” dakwanya yang pernah bertukar kerja 15 kali sebelum menjadi jurugambar profesional.

Walaupun himpunan gambar tersebut dimuatnaik di Facebook miliknya pada 23 April lalu, karya berkenaan terus menjadi bualan hangat netizen.

Kanak-kanak lelaki itu menyiram air di pusara ibu Atan. Foto ihsan Atan Mukri.

Empat gambar hasil karya Atan yang dikongsi seorang netizen dari Indonesia dengan kapsyen berbunyi ‘In the middle of feeling like trash and than see these picture. Shit, i’m crying’ di Twitter pada Khamis lalu diulang kicau sebanyak 47,000 kali dan mendapat 49,700 tanda suka.

"Mengulas mengenai gambarnya yang tular, Atan yang menetap di Felda Lurah Bilut, Bentong berkata, dia bersyukur kerana karyanya diterima rakyat Malaysia dan juga masyarakat luar.

“Alhamdulillah saya terharu dan berterima kasih terhadap penerimaan orang ramai. Saya pun tak sangka ia memberi impak besar kepada masyarakat.

“Sebenarnya saya suka menegur dan mengingatkan masyarakat melalui gambar-gambar saya. Mungkin anak-anak yang ibu bapanya sudah meninggal atau masih hidup, bila tengok gambar itu mereka pun turut rasa sedih.

“Mesej yang saya cuba sampaikan melalui gambar-gambar itu adalah hargai ibu bapa kita selagi mereka masih ada. Karya itu banyak menyentuh erti kasih sayang antara kita,” katanya.

Atan mendedahkan surat itu ditulis dirinya sendiri di atas sekeping kertas lama.

Selain menjadi jurukamera dan juruvideo sepenuh masa, ramai tidak tahu Atan turut mengajar kelas mengaji bersama isterinya, Masitah Osman yang juga guru Kafa.

“Saya juga mengajar mengaji dah dekat 10 tahun. Tiap-tiap malam isteri ajar budak umur lima hingga 10 tahun manakala saya pula 10 tahun hingga tingkatan 3 pada sebelah petang,” katanya yang menetap di kuarters Kafa.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain