suria

“Bila mak pusing belakang, abah dah siap sarung” - Ramai terhibur gelagat bapa 'rasmi' tudung baharu anak

Nana menyifatkan bapanya sebagai seorang yang tegas dan suka berjenaka dengan keluarga. Foto ihsan Aina Zulaikha.

GELAGAT bersahaja dan mencuti hati seorang bapa memakai tudung yang dibeli oleh anak perempuannya menjadi tular di Twitter.

Perkongsian paparan skrin perbualan antara gadis tersebut dengan ibunya berkenaan tudung yang baharu dibeli dengan gambar 'comel'  bapanya bertudung berjaya menarik perhatian netizen.

Posting di Twitternya itu diulang kicau kira-kira 24,533 kali dan mendapat 19,454 tanda suka.

Rata-rata netizen terhibur dengan sikap selamba dan kelakar bapa gadis tersebut yang dikenali sebagai Aina Zulaikha Sobri.

Aina Zulaikha atau lebih mesra disapa Nana berkata dia tidak menjangka bapanya, Sobri Yusoff, 61, akan menyarung tudung tersebut.

Posting Nana menjadi tular di Twitter.

"Mulanya saya beli tudung tu dan pos ke alamat rumah kami di Pulau Pinang. Saya tak tinggal dengan mak abah sebab tengah buat latihan pratikal.

"Lepas tudung tu sampai, mak saya WhatsApp beritahu ada barang dihantar di rumah atas nama saya. Dia tanya saya beli apa. Saya beritahu beli tudung, satu untuk saya dan satu lagi untuk mak.

"Tapi saya tak expect abah pun sarung sekali. Lepas mak hantar gambar tu saya terus call mak, kami pun gelak-gelak sebab abah buat macam tu," katanya ketika dihubungi mStar.

Namun Nana mengakui bapanya yang juga pesara kerajaan memang gemar berjenaka dengan anak-anak.

"Abah suka melawak dengan keluarga. Suka menyorok belakang pintu sebab nak kejutkan oranglah... bagi teka-tekilah dan kadang-kadang geletek anak-anak sampai terkeluar air mata.

Dia abah yang sempurna. Ada ketegasan dan kelembutan. Dulu abah garang, bila dah berusia sikit barulah dia suka buat lawak. Masa kecil dulu kalau pukul 6 tak mandi lagi dah kena sedia nak dapat hayunan 'hanger'.

AINA ZULAIKHA SOBRI

"Abah juga jenis suka family bonding. Makan bersama di meja. Kalau keluar makan mesti call abang yang duduk kawasan berdekatan ajak datang makan sekali," katanya.

Pada masa sama, gadis berusia 21 tahun itu turut bersyukur kerana dikurniakan seorang bapa yang cukup sempurna di mata mereka enam beradik.

"Dia abah yang sempurna. Ada ketegasan dan kelembutan. Dulu abah garang, bila dah berusia sikit barulah dia suka buat lawak. Masa kecil dulu kalau pukul 6 petang tak mandi lagi dah kena sedia nak dapat hayunan 'hanger'.

"Tapi dalam tegas tu abah kadang kala bila teringat anak-anak, dia akan masuk bilik kami. Dia akan duduk kejap. Dulu masa abang baru masuk MRSM, abah masuk bilik dia, pegang gitar dia. Dia juga baca buku-buku yang abang tulis," kata anak bongsu enam beradik itu.

Nana (dua dari kiri) bersama keluarga besarnya. Foto ihsan Aina Zulaikha.

Sementara itu, Nana yang masih menuntut di sebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di Selangor juga tidak menduga hantaran di akaun Twitternya itu akan menjadi tular.

"Waktu tu mak beritahu dia baru 'adjust' pakai tudung depan cermin. Bila mak pusing ja belakang tengok abah dah siap sarung tudung dah.

"Jadi saya pun muat naik perbualan itu hanya untuk suka-suka sebab rasakan ia kelakar. Tak sangka pula tweet tu boleh viral," katanya.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
tudung, abah, kelakar, tegas

Artikel Lain