“Ini bukan cara buat bisnes” - Tauke baju kena 'sekolah' cuba 'paw' jurugambar, alasannya nak beri 'peluang asah bakat' - Viral | mStar

“Ini bukan cara buat bisnes” - Tauke baju kena 'sekolah' cuba 'paw' jurugambar, alasannya nak beri 'peluang asah bakat'

Azma Redzal memiliki empat tahun pengalaman sebagai jurugambar.

SETAKAT tangkap gambar je, itu pun nak kena bayar ke?

Mungkin begitulah tanggapan sesetengah individu yang memandang ringan tugas sebagai jurugambar sehingga sanggup menawarkan kerja tanpa bayaran kepada mereka.

Bukan pertama kali berlaku, namun kes seperti ini sekali lagi tular apabila seorang jurugambar muda, Azmaredzal Ameruddin, 24, membuat perkongsian mengenainya.

Tidak berniat untuk memburukkan usahawan berkenaan, dia yang mesra disapa sebagai Ejal berkata, perkongsian itu sekadar untuk memberi kesedaran sahaja.

"Susah kerja melibatkan servis ni kerana orang tak nampak barang. Macam jurugambar, jurumekap dan pereka grafik.

"Kalau mula-mula berkecimpung nak buat secara percuma tu tak ada masalah, mungkin untuk kembangkan kemahiran.

"Tapi kena ingat, peralatan untuk ambil gambar memang mahal. Orang tak faham, kamera pun ada umurnya," ujarnya sewaktu dihubungi mStar pada Isnin.

Setiap jurugambar memiliki peralatan tersendiri yang mana harganya bukanlah murah. Gambar Hiasan : Adorama.

Menerusi satu posting, Ejal memuat naik paparan skrin mesej rakannya bagi menyampaikan hasrat seorang individu yang mahu menggunakan khidmat jurugambar.

Namun, individu tersebut enggan membayar sebarang bayaran dan menganggap peluang untuk merakam gambar baju di kedainya sebagai platform untuk mengasah kemahiran jurugambar muda itu sahaja.

"Aku ni photographer biasa biasa je. Tapi kecik jugak hati aku, dah 2019 ada lagi orang pandang rendah kat kerjaya ni.

"Nak je aku suruh dia jahit baju 100 helai bagi aku, boleh dia naikkan skill pekerja dia," tulis jejaka itu di Twitter.

Dalam satu respon balas, Ejal memohon rakannya supaya memberitahu individu berkenaan mengenai apa yang terbuku di mindanya.

Ibarat pelukis, orang nampak dia melukis 10 minit dah siap, tapi orang tak tahu dia ambil masa 10 tahun untuk dapat kemahiran tu.

AZMA REDZAL AMERUDDIN

Jurugambar

"Saya faham pasal kemahiran, tapi masih ada perut kena isi. Ada kereta nak isi minyak. Beritahu dia kalau saya nak shoot produk dia, peralatan yang saya bawa saja kosnya hampir RM12,000.

"Beritahu dia, ini bukan cara betul untuk buat bisnes. Kalau jurugambar tu baharu sekalipun, sokong mereka. Kalau tak macam mana diorang nak upgrade barang-barang mereka?" tulisnya lagi.

Mengulas hal itu, Ejal berkata dia langsung tidak marah kepada individu berkenaan, sebaliknya hanya mahu mereka sedar akan tugas seorang jurugambar.

Antara hasil kerja yang dipaparkan di Instagram Momentmaker.co yang dikendalikan oleh Ejal.

"Saya harap orang faham, nak jadi jurugambar bukan senang.

"Ibarat pelukis, orang nampak dia melukis 10 minit dah siap, tapi orang tak tahu dia ambil masa 10 tahun untuk dapat kemahiran tu.

"Jurugambar dan orang bisnes ni saling memerlukan. Kalau jurugambar tu sendiri yang offer nak bagi percuma, lain cerita, " katanya lagi.

Paparan skrin perbualan antara Ejal dan rakannya yang menjadi orang tengah kepada seorang usahawan.

Dalam pada itu, perkongsian Ejal di Twitter menerima hampir 20,000 ulang kicau (Retweet).

Malah, ramai pelayar laman sosial itu turut meluahkan rasa kurang senang mereka dengan individu berkenaan yang mahu menggunakan khidmat jurugambar secara percuma.

"Nak free, suruh tangkap sendirilah guna phone, belajar Youtube. Menyirap pula baca hahaha," tulis @wofieee.

"Aku bukan photographer tapi designer. Nasib lebih kurang sama. Aku pernah masa mula-mula berjinak dalam kerjaya ni, aku design kad wedding dapat apam balik beb. Hahahaha," kongsi @HanifAbdManaf pula.

"Eiiiii ingat senang ke tangkap gambar?! Dah tangkap nak edit lagi. Kenyit kenyit pening kepala oii lama lama," tulis seorang lagi netizen.

Azma Redzal , jurugambar , percuma

Artikel Lain