suria

Amaran! Instafamous jangan sorok harga, segera lapor pendapatan

Gambar hiasan.

INSTAFAMOUS yang mengenakan kadar bayaran tertentu atau rate card untuk sebarang perkhidmatan di laman sosial tidak terlepas  daripada peruntukan undang-undang.

Malahan, isu kontroversi rate card dalam kalangan Instafamous yang didedahkan netizen di Twitter turut menarik perhatian agensi percukaian dan penguatkuasa kepenggunaan negara.

ARTIKEL BERKAITAN: Instafamous melenting! Bengang pengguna Twitter dedah ‘rate card’ tanpa izin

Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) misalnya memberi layanan cukai sama terhadap pendapatan yang dijana melalui platform digital mahupun perniagaan konvensional.

Pengarah Komunikasi LHDN, Syarein Abu Samah berkata, sebarang transaksi yang dijalankan menerusi teknologi digital adalah antara aktiviti di dalam ekonomi digital.

Aktiviti transaksi tersebut meliputi pemberian maklumat, promosi dan pengiklanan, pemasaran, pembekalan, penghantaran barangan serta perkhidmatan, biarpun pembayaran tersebut mungkin dijalankan secara luar talian.

Info grafik tentang paparan harga yang perlu dipamerkan oleh peniaga.

“Sekiranya pendapatan yang dijana daripada Instafamous individu, kadar cukai adalah di atas kadar individu dan jika pendapatan Instafamous  daripada kategori syarikat, kadar cukai syarikat akan dikenakan.

“Pendapatan Instafamous dan mana-mana perniagaan online yang melakukan ulasan produk dan perkhidmatan melalui platform digital ini masih tertakluk kepada pengenaan cukai pendapatan di bawah Akta Cukai Pendapatan 1967,” katanya kepada mStar Online.

Jelas Syarein, cukai akan dikenakan sekiranya pendapatan yang dijana daripada aktiviti ulasan tersebut melepasi kadar minimum yang boleh dikenakan cukai di bawah akta berkenaan.

Tambah beliau, LHDN sudah mengenakan cukai terhadap pemilik akaun media sosial yang menjana pendapatan daripada aktiviti di platform digital.

Sehubungan itu, LHDN meminta pembayar cukai termasuk Instafamous dan peniaga online yang masih belum melaporkan pendapatan mereka supaya segera berbuat demikian melalui Program Khas Pengakuan Sukarela (PKPS).

Pendapatan Instafamous dan mana-mana perniagaan online yang melakukan ulasan produk dan perkhidmatan melalui platform digital ini masih tertakluk kepada pengenaan cukai pendapatan di bawah Akta Cukai Pendapatan 1967.

PENGARAH KOMUNIKASI LHDN

Sementara itu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menegaskan, sesiapa yang gagal memaparkan harga jualan kepada pengguna boleh dikenakan tindakan undang-undang.

Pegawai Penguatkuasa Seksyen Konsumerisme Unit Metrologi Sah dan Perlindungan Pengguna Peter J.Berinus Agang berkata, tindakan boleh diambil ke atas mereka yang gagal mematuhi Peraturan-Peraturan Pelindungan Pengguna (Urusniaga Perdagangan Elektronik) 2012.

“Peraturan ini mewajibkan orang yang menjalankan perniagaan bagi maksud pembekalan barang atau perkhidmatan melalui tapak web atau dalam pasar atas talian untuk mendedahkan maklumat yang dinyatakan,” katanya ketika dihubungi mStar Online.

Antara lapan peraturan tersebut adalah memaparkan harga penuh barang atau perkhidmatan termasuk kos pengangkutan, cukai dan kos lain serta kaedah pembayaran yang ditetapkan; ciri utama barang atau perkhidmatan serta anggaran masa penghantaran barang atau perkhidmatan kepada pembeli.

Selain itu, maklumat berkaitan nama individu yang menjalankan perniagaan, nama perniagaan atau  syarikat juga harus didedahkan, manakala nombor pendaftaran perniagaan atau syarikat pula dipaparkan, jika terpakai.

Pemilik perniagaan juga harus memberikan maklumat berkaitan alamat e-mel dan nombor telefon, atau alamat bagi tujuan membekalkan barang atau perkhidmatan secara atas talian, termasuk terma dan syarat.

“Pengguna perlu memastikan perkara di atas ada dipamerkan sebelum membuat pembelian di pasar dalam talian,” ujarnya.

Secara umumnya, kedua-dua agensi tersebut menasihatkan pengguna dan Instafamous yang kurang jelas mengenai isu berkenaan supaya menghubungi KPDNHEP dan LHDN bagi mendapatkan penjelasan tepat.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
Instafamous, LHDN, rate card

Artikel Lain