Bukan tok kadi, pengantin perempuan terkejut abang posmen muncul minta 'sign' atas pelamin - Viral | mStar

Bukan tok kadi, pengantin perempuan terkejut abang posmen muncul minta 'sign' atas pelamin

Fairul dan Afni selamat diijabkabulkan Sabtu lalu. FOTO: @7ulusview @arva.foto

SEBUT sahaja majlis perkahwinan, acara penuh bersejarah itu pastinya diserikan dengan kehadiran ahli keluarga, sanak-saudara dan sahabat handai.

Namun, lain pula ceritanya dengan sepasang pengantin di Wakaf Bharu, Kelantan apabila mereka dikejutkan dengan kehadiran seorang tetamu yang 'tidak diundang.'

Foto perkahwinan Mohamad Khairul Adha Che Kamaruddin, 26, dengan Nur Syafini Afni Mohd Yatim, 25, tular di media sosial apabila ia memaparkan kehadiran seorang posmen sejurus diijabkabulkan, Sabtu lalu.

Kehadiran posmen yang tidak dijangka sejurus akad nikah Sabtu lalu. FOTO: @7ulusview
@arva.foto

Ia pantas menarik perhatian netizen sehingga menerima lebih 5,000 ulang kicau (Retweet) dalam tempoh kurang 24 jam dimuat naik ke Twitter.

Menurut Afni, dia yang membuat pembelian dalam talian sekitar seminggu lalu tidak menjangka akan menerima bungkusan Pos Laju daripada posmen pada hari dia dinikahkan.

Bungkusan itu mengandungi tudung yang dibeli Afni, sekitar seminggu sebelum perkahwinannnya.

"Agak terkejut, memang tak jangka kain tudung yang saya beli akan sampai pada hari tu, tambah-tambah pula saya pun dah lupa sebab sibuk buat persiapan.

"Sekitar 15 minit selepas akad nikah, ayah bagitahu ada posmen datang hantar barang. Ayah jemput dia masuk jumpa saya untuk ambil tandatangan.

"Masa tu kami kat atas pelamin, tengah bergambar. Posmen tu pun agak segan, dia tak sangka ada majlis," ujarnya sewaktu dihubungi mStar Online pada Rabu.

Dengan sekali lafaz, Fairul sah menjadi suami Afni sambil disaksikan bapa pengantin perempuan, Mohd Yatim Ismail (tengah).

Menurut Afni, dia dan suami turut memberi bunga telur kepada posmen itu dan menjemputnya untuk menjamu selera.

Dalam pada itu, Afni mengakui tidak menjangka foto itu yang dimuat naik secara suka-suka ke akaun Twitter miliknya akan menarik perhatian ramai pihak.

"Bila saya post gambar, ada beberapa pengguna Twitter yang kenal dengan posmen tu. Mereka pun pernah terima bungkusan pos laju dari dia.

"Ujar mereka, abang posmen tu memang baik. Ada yang cakap posmen tu pernah tolong angkat barang mak dia sampai dalam rumah," ujar Afni lagi.

Paparan skrin posting Afni di laman Twitter.

Mengimbas peristiwa itu, Afni berkata dia tidak sempat bertanyakan nama posmen berkenaan kerana sedang sibuk melayan tetamu setelah selesai majlis akad nikah.

Namun, dia berterima kasih dan menyifatkan lelaki itu sebagai pekerja yang amanah, dedikasi dan penuh tanggungjawab.

"Untuk abang posmen, terima kasih. Saya hargai dan mendoakan agar dia sentiasa dimurahkan rezeki. Pada saya, abang sangat amanah dalam menjalankan tugas," katanya lagi.

Lebih Artikel