Dalam hati ada 'taman', isteri dedah punca pengantin lelaki gugur air mata ketika cium dahinya - Viral | mStar

Dalam hati ada 'taman', isteri dedah punca pengantin lelaki gugur air mata ketika cium dahinya

Momen sebak itu menyentuh hati netizen.

PERNIKAHAN adalah momen yang paling ditunggu-tunggu setiap pasangan untuk menyatukan dua hati menerusi satu ikatan yang sah.

Sudah tentu saat duduk di atas tilam kecil untuk akad nikah membuatkan pengantin lelaki tidak keruan kerana seluruh mata akan tertumpu kepadanya.

Ia ibarat detik paling mendebarkan bagi golongan lelaki.

Kebiasaannya kita sering melihat pengantin perempuan akan menitiskan air mata selepas selamat diijab kabul dengan pasangannya.

Namun berbeza pula dengan pasangan yang selamat disatukan pada Sabtu lalu apabila pengantin lelaki mengalirkan air mata ketika sedang mencium dahi isterinya.

Adegan tersebut yang dirakam salah seorang rakan mereka akhirnya menjadi tular dan rata-rata netizen tersentuh melihat gugurnya air mata seorang lelaki yang baru bergelar suami di hadapan isterinya.

Afrina Mohamad, isteri kepada pengantin lelaki berkenaan, Khairuddin Kassim menjelaskan suaminya itu gagal mengawal emosinya kerana bersyukur hubungan mereka akhirnya berakhir di jenjang pelamin.

"Ya dia memang sebak waktu tu. Dia sebenarnya terharu kerana dia amat berterima kasih kepada keluarga kami dan sesiapa sahaja yang menyokong kami selama ini.

"Dia juga terkenang masa yang kami lalui bersama. Kami kenal dah enam tahun. Jadi bila kami dah disatukan, makin bertambahlah sebak dia," kata Afrina kepada mStar Online.


Afrina dan suaminya selamat disatukan Sabtu lalu. Foto ihsan Afrina Mohamad

Menurut gadis kelahiran Klang, Selangor itu, dia dan suaminya jarang berjumpa seperti kebanyakan pasangan kekasih sebelum ini kerana hubungan cinta jarak jauh.

"Kami datang dari negeri yang berbeza, saya Selangor dan suami pula orang Johor. Jarak membuatkan kami jarang berjumpa.

"Kami banyak berhubung melalui mesej dan juga call antara satu sama lain," kata Afrina yang mengenali suaminya sejak di bangku sekolah menengah.

Jelas Afrina lagi, suaminya itu memang seorang yang mudah tersentuh dengan perkara berkaitan emosi.

"Bukan sahaja dengan wife tetapi dia juga akan mengalirkan air mata setiap kali bersalaman dengan kedua-dua ibu bapanya apabila perlu berjauhan," katanya.

Ditanya mengenai reaksinya selepas melihat keadaan suaminya itu, Afrina berkata dia turut sebak tetapi berjaya mengawal emosinya.

"Saya pun sebak sebenarnya waktu tu. Namun disebabkan suami dah nangis dulu, saya rasa saya patut tenangkan dia," katanya.

Meskipun ramai terharu selepas melihat keikhlasan pengantin lelaki, terdapat juga netizen yang memperlekehkan momen tersebut.

Namun Afrina dan suaminya enggan ambil pusing mengenai kritikan netizen.

"Kepada netizen yang mendoakan itu kami ucapan terima kasih dan kepada yang mengecam itu pun terima kasih. Semoga Allah panjangkan usia kalian dan murahkan rezeki kalian sentiasa," kata mereka.

pengantin , nangis

Lebih Artikel