Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perkeso, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata agensi itu tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang bersubahat dalam jenayah tuntutan palsu. - AZMAN GHANI/The Star
HASIL risikan dan siasatan dalaman Bahagian Anti-Fraud, Etika dan Integriti (AFEI), Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) berjaya membongkar kegiatan tuntutan palsu di bawah insentif Daya Kerjaya yang didakwa didalangi segelintir majikan.Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perkeso, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata, kegiatan itu mula dikesan AFEI pada penghujung 2024 selepas menjalankan risikan di lapangan. Menurutnya, hasil siasatan dalaman dan risikan dijalankan, maklumat berkaitan 426 majikan yang disyaki terbabit diserahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Ogos 2025.ARTIKEL BERKAITAN: Pencarum boleh mohon dikecualikan skim Lindung 24 Jam Perkeso bermula Isnin"Saya mengarahkan AFEI untuk bekerjasama dengan SPRM sehingga menyaksikan tangkapan besar-besaran dilaksanakan menerusi Op Daya pada 9 Jun lalu. "Keberhasilan operasi yang membongkar kegiatan tuntutan palsu ini adalah hasil pelaksanaan tatakelola sedia ada di Perkeso, dengan dibantu kemudahan teknologi kecerdasan buatan (AI)," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.Beliau berkata, tindakan proaktif itu berjaya menyelamatkan dana insentif Daya Kerjaya berjumlah RM5.33 juta.Selain itu, katanya, sebanyak RM1.5 juta lagi berjaya dipulangkan oleh majikan yang mengaku terbabit dalam kegiatan jenayah berkenaan.Mengulas lanjut, Mohammed Azman berkata Perkeso turut melaksanakan dasar Ikrar Bebas Rasuah (IBR) bersama SPRM serta memperkukuh kerjasama dengan suruhanjaya itu bagi menambah baik proses sedia ada.Beliau menegaskan Perkeso tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang terbabit atau bersubahat dalam jenayah tuntutan palsu, termasuk jika membabitkan kakitangan agensi itu sendiri."Perkeso kekal komited untuk memperkukuh integriti demi memastikan setiap dana awam diuruskan dengan penuh tanggungjawab dan memberikan manfaat kepada pencarum, majikan serta rakyat Malaysia," katanya.