Tangkap layar video tular menunjukkan keadaan skrin televisyen yang ditumbuk seorang peminat bola sepak.
KEHANGATAN perlawanan bola sepak antara pasukan Portugal dan Croatia pada awal pagi Jumaat bukan sahaja mencuri tumpuan peminat tegar, malah turut mencetuskan insiden tidak dijangka di luar padang.Dalam kejadian dipercayai berlaku di sebuah restoran nasi kandar dekat Seksyen 7 di Shah Alam, Selangor, seorang penyokong Croatia didakwa secara tidak sengaja tertumbuk skrin televisyen ketika meraikan jaringan pasukan kegemarannya. Menerusi hantaran yang tular, individu yang memuat naik rakaman video berkenaan sempat meninggalkan kapsyen berseloroh bagi menggambarkan situasi ketika kejadian."Member ni (penyokong Croatia) geram (teruja) sampai tumbuk TV... kerusi pun terpelanting. Alih-alih, rupa-rupanya gol tersebut 'offside' (tidak sah). Dah rugi sebab kena bayar ganti rugi."Tak fasal-fasal (lelaki yang pakai baju belang biru tu). Apa-apa pun, permainan yang bagus buat pasukan Portugal," tulisnya pada perkongsian tersebut di Thread.Rakaman video itu kemudian mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan netizen setelah ditonton lebih 300,000 warga maya.Susulan itu, seorang pengguna Thread tampil mengaku dia merupakan individu yang dirakam dalam video berkenaan.Menurutnya, kejadian itu berlaku secara tidak sengaja ketika dia meraikan jaringan gol Croatia dan bukannya kerana terlalu emosi sehingga sengaja menumbuk televisyen.Malah, dia turut mendakwa kapsyen yang dimuat naik bersama video tersebut tidak menggambarkan situasi sebenar sehingga memberi persepsi buruk terhadapnya."Saya yang rosakkan TV tu. Bukan saya sengaja dan saya tak ada niat pun nak pecahkan TV tu. Ya, salah saya sebab over celebrating gol Croatia sampai tertumbuk TV tu."Saya bukan sengaja tumbuk sebab emosi. Saya minta maaf kepada orang belakang dan semua sekali. Caption abang ni dah salah dan memburukkan saya."Saya harap abang dapat balas mesej saya. Saya pun dah selesaikan perkara ini secara baik dengan pengurus kedai," ujarnya di ruangan komen bagi memperbetulkan keadaan.Bagaimanapun, penjelasan itu nampaknya gagal meredakan keadaan apabila segelintir pengguna media sosial tetap tampil menegur tindakan tersebut yang disifatkan sebagai keterlaluan, menyusahkan orang ramai, serta mengundang kerugian."Memburukkan? Perangai kau memang buruk. Baik duduk rumah 'rembat' TV dekat rumah je."Orang lain tengok bola tak ada pun tumbuk TV. Lagi satu, bukan negara kau pun yang main. Rileks dan nikmati perlawanan. Raikan dengan beradab."Kau ni bang tak fasal-fasal. Ramai lagi orang nak tengok perlawanan. Kesian dekat mereka yang internet tak laju, dekat kedai mamak ni mereka datang nak tengok bola," komen beberapa netizen.Untuk rekod, Portugal menewaskan Croatia 2-1 dalam aksi Piala Dunia yang berlangsung di Stadium Toronto. Croatia terlebih dahulu membuka tirai jaringan menerusi Ivan Perisic pada minit ke-53 sebelum Portugal bangkit menerusi jaringan Cristiano Ronaldo dan Goncalo Ramos.