suria
Nexus- chevron_right featured_seasonal_and_gifts0
info
Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda dan tebus hadiah di Nexus.
close hadiah

Ganjaran Anda Sedang Menanti!

Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda. Klik pada mata ganjaran untuk menebus hadiah di Nexus sebelum tamat tempoh.

Daftar Masuk Sekarang

Sultan Selangor hargai peranan Najib, Anwar dalam projek LRT3... Zahir rasa kurang senang terhadap Guan Eng, Tony Pua

Sultan Selangor bertitah kejayaan pelaksanaan LRT3 adalah hasil kesinambungan usaha beberapa pentadbiran kerajaan.

SULTAN Selangor menzahirkan penghargaan buat bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berhubung kejayaan pelaksanaan projek Laluan LRT3 Shah Alam yang akhirnya direalisasikan demi manfaat rakyat negeri itu.

Titah Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj, cadangan mengenai pembinaan kemudahan pengangkutan itu dititahkan ketika satu majlis berbuka puasa di rumah Najib pada tahun 2015.

"Pertama sekali, Beta ingin memberikan penghargaan (kredit) kepada Datuk Seri Najib Razak kerana mendengar titah Beta agar satu kemudahan rel dibina menghubungkan Klang, Shah Alam dan Kuala Lumpur.

“Beliau tanpa ragu menerima cadangan Beta itu.

“Ia susulan keluhan dan rintihan dalam banyak surat yang Beta terima daripada suri rumah mengenai suami mereka kerap sampai lewat ke rumah selepas kerja kerana berdepan kesesakan di Lebuh Raya Persekutuan khususnya," titah baginda pada Rabu.

ARTIKEL BERKAITAN: Jangan lepaskan peluang, PM umum tambang LRT3 percuma selama sebulan!

Tambah Sultan Selangor, ketika itu hanya dua jambatan yang digunakan untuk melintasi Sungai Klang, sekali gus menjadikan masalah trafik waktu puncak semakin teruk.

Sebagai langkah penyuraian trafik segera, pentadbiran Najib memansuhkan Plaza Tol Batu Tiga dan Plaza Tol Sungai Rasau pada tahun 2018.

Menurut Sultan Selangor, projek Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) turut tergendala apabila berlaku pertukaran kerajaan pada tahun 2018 sebelum negara dilanda wabak Covid-19.

Ketika itu, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng daripada DAP bersama penasihatnya Tony Phua dari DAP mengecilkan kos pelaburan projek LRT3 atas alasan ia merupakan projek mega.

"Beta ingin tegaskan ini bukan projek mega dan bukan projek untuk bermegah-megah, tetapi projek untuk kepentingan dan kesejahteraan rakyat Beta,” titah baginda.

Titah Sultan Selangor lagi, saiz setiap stesen dikecilkan dan jumlah gerabak turut dikurangkan ketika Kementerian Kewangan di bawah pentadbiran Guan Eng dan Tony Phua juga.

Lima lokasi cadangan stesen dalam jajaran itu juga dibatalkan.

"Alhamdulillah apabila Datuk Seri Anwar Ibrahim mengambil alih jawatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, dia bersetuju meneruskan projek ini dengan mengembalikan semula lima buah stesen yang dibatalkan dan turut membina rumah mampu milik di sekitar kawasan stesen dan laluan LRT3.

Titah Sultan Selangor lagi, kejayaan pelaksanaan LRT3 adalah hasil kesinambungan usaha beberapa pentadbiran kerajaan, bukannya kejayaan mana-mana individu atau pihak tertentu.

"Beta tidak mahu lagi ada mana-mana pihak tertentu mengambil kesempatan untuk mendakwa bahawa kejayaan pelaksanaan LRT3 ini adalah hasil usaha mereka semata-mata.

“Hakikatnya, projek ini merupakan hasil kesinambungan perancangan, komitmen dan kerjasama pelbagai pihak merentasi beberapa pentadbiran demi kepentingan rakyat Selangor secara keseluruhannya,” titahnya.

Artikel Lain