POLIS tidak menolak kemungkinan kes penculikan Datin Seri Pamela Ling Yueh di Putrajaya pada 9 April lalu adalah rancangan wanita itu sendiri.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa, berkata siasatan bagi eleman itu sedang dijalankan pasukan siasatan dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kuala Lumpur.
"Kita tidak dapat mengesahkan kesahihan perkara ini, namun ia turut diambil kira dalam elemen siasatan kita," katanya pada sidang media di Ibu Polis Kontinjen Kuala Lumpur pada Khamis.
Berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV), pihaknya mendapati mangsa mengikut arahan suspek yang melarikannya tanpa berlaku sebarang pergelutan dan situasi penculikan berjalan lancar.
ARTIKEL BERKAITAN: Suami antara suspek kes kehilangan Pamela, polis akan rakam keterangan anak-anak - KPN
ARTIKEL BERKAITAN: Kehilangan Pamela dapat petunjuk baharu, pemandu e-hailing dakwa mangsa diculik individu berjaket polis
Ditanya sama ada mangsa masih berada di negara ini, Rusdi berkata rekod imigresen menunjukkan Pamela berada di Malaysia.
"Bagaimanapun, dia mungkin dibawa keluar menggunakan laluan haram. Kami menggunakan segala sumber untuk mengesannya," katanya.
Pada 9 April, Pamela dipanggil ke ibu pejabat SPRM di Putrajaya untuk membantu siasatan berhubung isu pengubahan wang haram.
Dia dilaporkan hilang dalam perjalanan ke temu janji, dan peguamnya memfailkan laporan polis pada hari yang sama.
Sehingga Ahad, tiada tuntutan wang tebusan dibuat berhubung kehilangannya.
Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain sebelum ini berkata suami mangsa boleh menjadi suspek dalam kehilangannya.-The Star


