suria

Remaja lelaki direman 6 hari, bantu siasatan kes tikam penuntut wanita

Lokasi kejadian seorang pelajar perempuan dipercayai ditikam rakan lelaki.

SEORANG remaja lelaki direman enam hari bagi membantu siasatan selepas disyaki menikam seorang penuntut wanita sebuah institut pengajian tinggi (IPT) hingga cedera parah, pada Isnin malam.

Perintah reman dikeluarkan Majistret Mahkamah Sungai Petani, M Kalairasi terhadap suspek yang berusia 19 tahun itu di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) bermula Selasa sehingga 23 Mac.

Ia adalah bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, suspek yang turut mengalami kecederaan di tangan kanan akibat tertikam pisau ketika bergelut dengan mangsa kini ditahan di wad dengan pengawasan polis.

ARTIKEL BERKAITAN: Pelajar perempuan parah ditikam rakan lelaki di IPT

Ujarnya, suspek akan di bawa ke lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda selepas dibenarkan keluar daripada hospital.

Menurut Wan Azharuddin, mangsa yang juga berusia 19 tahun mengalami kecederaan akibat tikaman di beberapa bahagian belakang badan dan leher, kini dilaporkan berada dalam keadaan stabil.

"Mangsa sudah sedar selepas menerima rawatan di hospital dan dalam keadaan stabil.

"Kita juga sudah merakam keterangan suspek dan siasatan dilakukan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan," katanya sambil menambah, polis akan merekod keterangan daripada mangsa dan beberapa saksi di tempat kejadian untuk melengkapkan siasatan.

Media semalam melaporkan seorang penuntut wanita di sebuah institusi pengajian tinggi (IPT) di Sungai Petani cedera parah ditikam seorang penuntut lelaki susulan tidak berpuas hati mengenai isu peribadi antara mereka. 

Dipercayai suspek merupakan bekas teman lelaki mangsa. 

 

Artikel Lain