suria

Kakcik Yah faham skop kerja, seronok jadi duta… PakMatWestern jawab tuduhan tunggang populariti warga emas

Tangkap layar sesi live Kakcik Yah bersama kakitangan PakMatWestern.

POPULARITI TikToker Kakcik Yah atau Nariah Ahmad semakin melonjak lebih-lebih lagi selepas dilantik sebagai duta bagi satu jenama makanan sejuk beku.

Namun, kolaborasi ini mencetuskan perdebatan netizen apabila ramai meluahkan rasa simpati kerana mendakwa syarikat berkenaan ‘menunggang’ populariti Kakcik Yah.

Rasa simpati bermula apabila sesi siaran langsung (live) bersama warga emas itu memperlihatkan keadaan dirinya yang kelihatan kepenatan kerana faktor usia.

"Minta maaf la, aku tak setuju betul la PakMatWestern ni gunakan orang tua untuk marketing," komen seorang netizen.

Tampil menjelaskan keadaan sebenar, wakil daripada syarikat itu yang dikenali sebagai Ica menegaskan, pemilihan Kakcik Yah sebagai duta bukanlah dibuat atas kerelaan diri sendiri semata-mata.

ARTIKEL BERKAITAN: “Mola-mola kita…” - Kakcik Yah cetus sensasi di TikTok, video masakan nenek 75 tahun ini raih populariti luar biasa

Sebaliknya kerjasama terjalin atas persetujuan bersama, termasuk keluarga nenek berusia 75 tahun itu sendiri.

"Mungkin sesetengah pihak ada yang tidak tahu sebenarnya Kakcik Yah ni secara rasmi sudah dilantik menjadi duta paling veteran dekat sini.

"Ini semua atas persetujuan Kakcik Yah serta pihak keluarga tanpa ada apa-apa paksaan. Pihak kami terangkan satu per satu apa skop kerja yang Kakcik Yah kena buat.

"Apa yang kena dan tidak boleh lakukan. Kakcik Yah faham dan seronok rasa nak buat juga benda tu. Kalau anda semua nak tahu, rezeki Kakcik Yah ni banyak bantu kehidupannya sendiri," jelas Ica.

Menurutnya lagi, pelbagai bentuk sokongan disediakan pihak syarikat kepada Kakcik Yah, termasuk pendapatan tetap setiap bulan, bantuan barangan dapur serta komisen daripada hasil jualan.

Ica mewakili PakMatWestern bagi menjawab tuduhan orang ramai.

Mengulas mengenai kebimbangan netizen terhadap tahap kesihatan TikToker itu, Ica menegaskan pihak mereka tidak mengambil kesempatan dan sentiasa mengutamakan kebajikannya.

"Ye la mana tidaknya... dengan usia umur Kakcik Yah serta keadaan fizikal dia. Tapi sebelum anda semua risau, pihak kami pun sudah risaukan terlebih dahulu. 

"Kami pun tak terus 'terjah' Kakcik Yah. Kami ambil tahu tahap kesihatan, apa yang dia mampu dan tidak mampu buat. Kami sudah fikir habis-habis.

"Kami pantau Kakcik Yah tu macam mak kami sendiri tanpa ada unsur ambil kesempatan atau penindasan," katanya lagi. 

Justeru Ica berharap agar orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi atau tuduhan tidak berasas sebagaimana yang berlaku di media sosial.

Tambahnya, segala keputusan dibuat atas dasar menjaga kebajikan Kakcik Yah sambil memberi peluang kepadanya untuk menambah pendapatan sendiri.

Artikel Lain