suria

[V] Vivy Yusof, suami dapat pasport tunai umrah... Mengaku buat perancangan lepas tuduhan kes pecah amanah

MAHKAMAH Sesyen Kuala Lumpur membenarkan permohonan Datin Vivy Sofinas Yusof dan suaminya, Datuk Fadzarudin Shah Anuar untuk mendapatkan pasport antarabangsa buat sementara bagi membolehkan mereka menunaikan umrah.

Hakim Rosli Ahmad pada Selasa membenarkan pasport diserahkan kepada pengasas platform e-dagang, FashionValet itu dan suaminya, menerusi peguam selepas tiada bantahan daripada pihak pendakwaan terhadap permohonan tersebut.

"Permohonan pasport dibenarkan bermula pada 31 Disember dan dikembalikan kepada mahkamah pada 15 Januari," katanya.

Vivy dan pasangannya akan berangkat ke Arab Saudi pada 5 Januari depan, kata peguam yang mewakili pasangan itu, Ashok Athimulan.

Mereka dijangka pulang ke Malaysia pada 14 Januari dan pasport akan dikembalikan kepada mahkamah pada keesokan harinya.

ARTIKEL BERKAITAN: Vivy Yusof, suami mengaku tidak bersalah tuduhan pecah amanah RM8 juta

"Saya mohon pasport diserahkan hari ini kerana ketiadaan pasport sukar untuk melakukan visa dan sebagainya," kata peguam itu lagi.

Ketika disoal Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin tentang bila mereka mula merancang untuk menunaikan umrah itu, Fadzaruddin berkata ia hanya dibuat selepas pertuduhan dikenakan terhadapnya.

Untuk rekod, Vivy dan Fadzaruddin pada 5 Disember lalu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, atas pertuduhan pecah amanah membabitkan dana pelaburan Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) dan Permodalan Nasional Berhad (PNB) bernilai RM8 juta.

Pertuduhan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan itu dibacakan bersama Seksyen 34 kanun sama, yang mana membawa hukuman penjara minimum dua tahun sehingga 20 tahun, jika sabit kesalahan.

Vivy dan suami diminta membayar wang jaminan sebanyak RM100,000 setiap seorang selain menyerah pasport dan lapor diri sebulan sekali di Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain