SEBANYAK 26 buah motosikal hangus dijilat api dalam satu kejadian kebakaran di sebuah kilang di Pasir Gudang, Johor pada Isnin. Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pasir Gudang, Penolong Pegawai Bomba Sarhan Akmal Mohamad berkata insiden berlaku di lot pakir kilang berkenaan. "Kita menerima panggilan kecemasan pada pukul 10.03 pagi dan dua jentera Fire Rescue Tender (FRT) melibatkan sembilan anggota bomba," katanya dalam kenyataan pada Isnin. Sarhan berkata, kerja-kerja pemadaman turut dilakukan Pasukan Tindakan Kecemasan (ERT) syarikat berkenaan menggunakan dua aliran 200 kaki, dua pancutan dan 13 unit alat pemadam api. "Pasukan bomba kemudian melakukan kerja-kerja pemantauan dan pemeriksaan sehingga selesai dan memastikan keadaan sekitar dalam keadaan selamat," katanya. Menurut beliau, punca kejadian masih dalam siasatan. Operasi yang diketuai Pegawai Bomba Kanan I, Anuar Abdullah itu ditamatkan pada 10.30 pagi. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube