SEORANG remaja lelaki berusia 14 tahun meninggal dunia ketika bermain bola sepak di padang. Perkara itu disahkan oleh Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof. Beliau berkata, mangsa rebah ketika sedang bermain bola di sebuah padang di Semenyih, Selangor. "Seorang jurulatih pasukan bola sepak membuat laporan pada kira-kira pukul 4.08 petang Sabtu berhubung kejadian. "Siasatan mendapati mangsa rebah di padang ketika sedang bermain bola sepak. Dia dibawa ke klinik berhampiran sebelum dihantar ke Hospital Kajang. "Mangsa disahkan meninggal dunia pada pukul 2.02 petang hari sama," katanya dalam kenyataan, pada Isnin. Naazron berkata, bedah siasat mendapati mangsa mempunyai masalah komplikasi jantung dan asma. "Kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut," ujarnya, Sehubungan itu, beliau menasihatkan semua pihak terutama ibu bapa perlu membuat pemeriksaan kesihatan terhadap anak-anak terlebih dahulu sebelum menyertai mana-mana kejohanan atau aktiviti sukan. "Ia bertujuan untuk mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku," katanya lagi. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube