suria

Askar didakwa cabul remaja 19 tahun dekat kedai jual ayam

Seorang askar berdepan hukuman penjara 10 tahun atas kesalahan mencabul remaja. -Gambar hiasan

SEORANG anggota tentera berpangkat koperal berdepan tuduhan mencabul kehormatan remaja perempuan berusia 19 tahun pada 17 Mei lalu.

Jika sabit kesalahan dia boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 10 tahun.

Bagaimanapun tertuduh, Mohamad Zuhaimi Mat Saad, 44, mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan selepas pertuduhan dibaca mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan.

Prosiding berlangsung di hadapan Majistret Khairunnisak Hassni di Mahkamah Majistret Ayer Keroh, Melaka pada Jumaat.

Mengikut pertuduhan, Mohamad Zuhaimi didakwa dengan sengaja mencabul kehormatan mangsa di dalam sebuah kereta di parkir kereta berdekatan sebuah kedai menjual ayam di Cheng, Melaka dalam kejadian pukul 12.30 tengah malam.

Jika disabitkan dengan kesalahan, tertuduh berdepan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebatan atau pun dengan mana-mana dua daripada hukuman itu.

Timbalan Pendakwa Raya, Nor Asnini Kamarudin memohon tarikh sebutan baharu serta mencadangkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin.

Peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Muhammad Izzuddin Ab Malek memohon jumlah itu dikurangkan atas alasan tertuduh yang juga duda anak dua masih bertugas dan kini tinggal di Kem Sungai Udang.

Mahkamah membenarkan ikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin sementara menunggu perbicaraan selesai dan kes ditetapkan bagi sebutan pada 29 Julai depan untuk lantikan peguam dan serahan dokumen.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain