suria

Siti Bainun kekal dijel, rayuan ketepikan hukuman penjara 12 tahun ditolak

Keputusan rayuan kes Siti Bainun dibacakan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Khamis.

MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur kekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun terhadap Siti Bainun atas dua tuduhan mengabai dan menganiaya seorang remaja perempuan sindrom down dikenali sebagai Bella.

Hakim Datuk Noorin Badaruddin membuat keputusan itu selepas menolak rayuan pengasas Rumah Bonda berkenaan bagi mengetepikan sabitan bersalah terhadapnya menerusi prosiding pada Khamis.

Pada 3 Mei 2023, Mahkamah Sesyen mendapati Siti Bainun bersalah atas dua pertuduhan mengabai dan menganiaya Bella.

ARTIKEL BERKAITAN: Kes dera Bella: Siti Bainun dipenjara 12 tahun

Bagi pertuduhan pertama, Siti Bainun dipenjara 10 tahun manakala bagi pertuduhan kedua tertuduh dipenjara 12 tahun.

Kedua-dua hukuman itu berjalan serentak bermula tarikh sabitan.

Selain itu dia juga perlu melaksanakan khidmat masyarakat selama 200 jam dalam masa enam bulan selepas tamat hukuman penjara dengan syarat-syarat yang dikenakan.

Untuk rekod pada 20 Ogos 2021, Siti Bainun didakwa sebagai orang yang dipertanggungjawab untuk menjaga kanak-kanak perempuan sindrom down berusia 13 tahun, telah mengabaikan iaitu dengan menyebabkan kanak-kanak itu mengalami kecederaan fizikal dan emosi.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah unit rumah kondominium di Seksyen 10, Wangsa Maju, Kuala Lumpur antara bulan Februari dan Jun 2021.

Pada 25 November tahun sama, Bainun didakwa lagi di mahkamah sama atas pertuduhan menganiaya remaja itu, di lokasi dan tarikh sama, mengikut peruntukan seksyen yang serupa.

Kes yang mengejutkan negara itu mendapat perhatian sebahagian besar masyarakat termasuk badan pertubuhan bukan kerajaan yang memperjuangkan nasib kanak-kanak seperti Bella.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain