suria

Kecoh pemandu bas enggan beri kerjasama ketika ditahan, JPJ sahkan penguat kuasa tak perlu pakai uniform semasa operasi

Video tular menunjukkan anggota JPJ menahan pemandu bas ekspres.

TULAR video di laman media sosial memaparkan ketegangan antara seorang pemandu bas ekspres dengan anggota penguatkuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Konflik berpunca daripada anggota JPJ itu tidak memakai jaket atau uniform rasmi ketika menahan bas berkenaan.

Pemandu bas tersebut enggan memberikan kerjasama kerana risau anggota JPJ itu menyamar dan ia adalah cubaan untuk menyamun dirinya.

"Vest mana? Tunjuk surat daripada mana?" soal pemandu bas tersebut meragui anggota JPJ yang sedang menahannya.

Susulan itu, JPJ pada Jumaat mengeluarkan kenyataan memaklumkan anggotanya dibolehkan untuk tidak memakai uniform atau vest bagi tujuan penyamaran ketika melakukan operasi.

Walaupun begitu, anggota penguatkuasa JPJ perlu mengemukakan pengenalan diri (kad kuasa) yang dikeluarkan Ketua Pengarah sekiranya hendak menahan kenderaan untuk tujuan pemeriksaan dan lain-lain.

Tambahnya, perkara itu selaras dengan Seksyen 123 (1) dalam Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333).

"Ketiga-tiga anggota yang tidak memakai uniform atau vest dalam video tular itu disahkan merupakan pegawai penguatkuasa JPJ.

“Jabatan ini melaksanakan Operasi Khas Hari Raya Aidilfitri (HRA) 2024 bermula pada 1 April hingga 20 April lalu bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya terutama penumpang bas ekspres,” katanya menerusi satu kenyataan.

Menurut JPJ, sepanjang operasi khas itu, pihaknya menggunakan pelbagai kaedah termasuk melakukan pemeriksaan di sekatan jalan raya dan pemeriksaan pemandu bas di terminal bas sebelum memulakan perjalanan.

Selain pemantauan di lokasi-lokasi yang sering berlaku kemalangan.

Ini termasuk menggunakan teknologi dron, menyamar sebagai penumpang bas ekspres, penyamaran dengan menggunakan kenderaan tanpa lambang jabatan serta bertindak atas aduan orang ramai melalui sistem eAduan dalam aplikasi MyJPJ.

“Sebagai makluman kedua-dua pihak membuat laporan polis dan kes tersebut sedang dalam siasatan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Semua pihak dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi mengenai perkara tersebut dan memberikan ruang kepada pihak PDRM untuk melakukan siasatan penuh,” jelasnya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain