suria

Brek rosak disyaki punca bas rempuh 11 kenderaan di lampu isyarat

Sebanyak 11 kenderaan rosak selepas dirempuh sebuah bas dalam kejadian di Jalan Tan Swee Hoe-Jalan Kluang, Batu Pahat, pagi Khamis.

SEBELAS kenderaan mengalami kerosakan selepas dirempuh sebuah bas yang hilang kawalan akibat masalah brek dalam satu kejadian di persimpangan lampu isyarat Jalan Tan Swee Hoe-Jalan Kluang, Batu Pahat, pagi Khamis.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah berkata, kejadian yang berlaku kira-kira jam 10.40 pagi itu bagaimanapun tidak melibatkan sebarang kemalangan jiwa.

Sebelas kenderaan yang dirempuh itu melibatkan dua buah lori dan sembilan kereta.

ARTIKEL BERKAITAN: Ngeri! Treler terbabas sebelum rempuh 11 kenderaan di Pasir Gudang

Ujarnya, siasatan awal mendapati sebuah bas yang datang dari arah bandar Batu Pahat menghala ke Jalan Kluang telah hilang kawalan, dipercayai mengalami kegagalan brek, sebelum merempuh 11 kenderaan lain yang sedang berhenti di persimpangan lampu isyarat.

"Kemalangan hanya melibatkan kerosakan semua kenderaan dan kecederaan ringan," katanya kepada pemberita.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan berbahaya.

Terdahulu, tular sebuah video berdurasi 34 saat menunjukkan sebuah bas merempuh kenderaan lain di persimpangan lampu isyarat di Batu Pahat.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain