suria

Balas dendam! Warga Israel masuk Malaysia sebab nak bunuh ketua geng musuh

Lelaki warga Israel yang ditahan PDRM bersama sejumlah senjata api.

LELAKI warga israel yang ditahan polis bersama enam pistol serta 200 butir peluru di sebuah hotel di Jalan Ampang, Kuala Lumpur pada Rabu lalu didakwa mempunyai motif untuk melakukan pembunuhan.

Menurut sebuah agensi berita yang membuat liputan pergolakan di negara Timur Tengah, suspek terbang masuk ke Malaysia untuk membunuh musuh seteru kumpulan mereka.

Dalam pada itu, beberapa agensi berita berbahasa Hebrew mengenal pasti suspek sebagai Shalom Avitan yang berumur 36 tahun dan merupakan ahli kumpulan jenayah bersaudara Musli Brothers.

Seterusnya, menurut portal berita dan hiburan Israel, Mako, Avitan (suspek) tiba ke Malaysia untuk membunuh ketua kumpulan penjenayah seteru dikenali sebagai Eran Haya.

Terdahulu selama beberapa bulan, kedua-dua kumpulan penjenayah itu terjebak dalam konflik yang ganas.

ARTIKEL BERKAITAN: Gempar lelaki warga Israel ditahan bersama 6 senjata api, polis pertingkat keselamatan

Menurut laporan stesen televisyen di Israel, Channel 12, rumah Avitan di kawasan kejiranan mewah sekitar Tel Aviv dibom oleh konco-konco kumpulan penjenayah Haya pada pertengahan Mac lalu.

Dalam jangka masa sama serangan itu dilancarkan, Haya dipercayai memasuki Malaysia.

Avitan tidak lama kemudian mengekori Haya masuk ke negara ini dengan menggunakan pasport Perancis memandangkan dia mempunyai dua kewarganegaraan.

Selain itu, pasangan warga tempatan berumur antara 42 dan 40 tahun turut ditahan di bazar Ramadan sekitar Kuala Selangor, kira-kira pukul 7.15 petang pada Jumaat (29 Mac).

Razarudin berkata PDRM akan mempertingkatan keselamatan negara susulan penahanan seorang warga Israel. -Gambar fail Bernama

PDRM akan mempertingkatkan keselamatan negara susulan penahanan lelaki warga Israel.

Berdasarkan maklumat sumber, mereka didakwa membekalkan senjata api dan kemudahan logistik kepada Avitan untuk menjalankan operasinya.

Pasangan itu kemudiannya membawa polis ke rumah mereka di Kuala Selangor di mana polis merampas sepucuk pistol yang disimpan di dalam beg sandang.

Sementara itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan meningkatkan kawalan keselamatan negara susulan penahanan Avitan yang pada awalnya didakwa sebagai ejen perisikan Israel.

Langkah berjaga-jaga tetap diambil PDRM walaupun suspek mendedahkan dia memasuki Malaysia kerana mahu membunuh warganegara Israel lain yang merupakan ketua kumpulan penjenayah seteru.

"Apabila tangkapan ini berlaku, apa yang kita nampak adalah isu berkaitan Palestin dan Israel.

"Maka kita kini sangat berwaspada tentang keselamatan Perdana Menteri, Yang di-Pertuan Agong dan juga beberapa VVIP yang kita perlu ambil kira keselamatan mereka, keselamatan di sini," katanya pada sidang media, Jumaat. - The Star

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain