suria

Lelaki pegang parang, berdiri di tengah jalan raya dicekup polis

Rakaman menunjukkan seorang lelaki memegang parang di tempat awam.

SEORANG lelaki ditahan polis selepas tular video memaparkan dirinya dalam keadaan mabuk berjalan mundar-mandir dengan memegang sebilah parang.

Kejadian dipercayai berlaku di tepi jalan Kampung Morib, Banting, Selangor pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd Nor @ Saleh berkata, kejadian itu dikesan oleh pihaknya menerusi satu video berdurasi 13 saat yang tular di media sosial.

“Bertindak di atas maklumat dan laporan polis yang dibuat, kira-kira jam 11.30 pagi tadi sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Langat berjaya menangkap suspek di kawasan Morib.

“Siasatan mendapati, lelaki warga tempatan berumur 31 tahun itu bekerja sebagai buruh ladang dan tidak mempunyai sebarang rekod jenayah.

“Siasatan awal mendapati, punca kejadian disebabkan masalah rumah tangga dan suspek dalam keadaan mabuk,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambahnya lagi, suspek akan direman di Mahkamah Telon Datuk, Banting jam 8 pagi esok.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil dan Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958.

“Jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara minimum lima tahun dan maksimum 10 tahun.

“Polis juga menasihati orang awam agar tidak membuat spekulasi yang boleh mengganggu siasatan polis," ujarnya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain