suria

Sakit hati air oren diminum sebelum waktu berbuka puasa, lelaki tikam rakan sampai mati

Rakan sekerja ditikam gara-gara minum air milik suspek ketika berbuka puasa. -Gambar PDRM

SEORANG pekerja kilang menikam rakan sekerjanya ketika berbuka puasa di hostel mereka di Seksyen 36, Shah Alam pada Selasa.

Menurut Ketua Polis Daerah Shah Alam Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada pukul 7.20 malam.

Jelasnya, kejadian itu dipercayai berlaku selepas suspek lelaki berusia 51 tahun berang apabila mangsa dikatakan meminum air oren miliknya ketika berbuka puasa.

"Hasil siasatan polis mendapati mangsa adalah warga Bangladesh berusia 49 tahun dan bekerja sebagai pekerja am. Manakala suspek adalah warga Pakistan tinggal bersama-sama di dalam kontena yang dijadikan sebagai hostel kilang.

"Kejadian berpunca daripada suspek marah apabila mangsa meminum air berperisa orennya semasa berbuka puasa. Suspek bertindak menikam mangsa beberapa kali dengan menggunakan sebilah pisau yang diambil daripada dapur," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Tambah Iqbal, suspek kemudian ditahan pada pukul 7.30 malam di lokasi kejadian dan semakan mendapati mereka adalah rakan sekerja.

Dalam pada itu, pisau yang digunakan suspek untuk menikam mangsa turut dirampas oleh pihaknya bagi membantu siasatan.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman mati atau penjara tidak kurang daripada 30 tahun tetapi tidak melebihi 40 tahun.

Jika tidak dijatuhkan hukuman mati, hendaklah juga dihukum dengan sebatan tidak kurang daripada 12 kali terhadap tertuduh.

"Mana-mana individu yang mempunyai maklumat lanjut bolehlah menghubungi Pegawai Penyiasat Asistan Superintenden Md Anuar Md Amilah @ Harun di talian 019-2255597," katanya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain