suria

PKNS nafi akan roboh kompleks di Shah Alam! SACC Mall, Pusat Konvensyen SACC terlibat projek peremajaan bandar

PKNS jawab isu perobohan kompleks di Shah Alam. -Gambar X

PERBADANAN Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) menegaskan pihaknya tidak mempunyai perancangan untuk merobohkan Kompleks PKNS Shah Alam.

Perkara itu dijelaskan menerusi satu kenyataan media yang dibuat pada Isnin selepas tular di sosial media dakwaan pusat perdagangan berusia lebih empat dekad itu bakal dirobohkan.

Turut didakwa, perobohan itu bagi memberi laluan untuk satu projek pembangunan semula di kawasan tersebut.

"PKNS ingin menegaskan bahawa tidak ada perancangan untuk merobohkan kompleks ini.

“Kompleks PKNS yang berusia 47 tahun itu, merupakan salah satu mercu tanda di Shah Alam dan memainkan peranan penting dalam menyediakan perkhidmatan perniagaan dan kemudahan kepada penduduk sekitar," menurut kenyataan itu.

Susulan posting tular itu, PKNS akan membuat laporan polis dan melaporkan kepada Suruhanjaya Komunikasi Dan Multimedia Malaysia (MCMC) berkenaan penyebaran berita tidak benar terbabit.

2597851

Aksesori wanita, kelengkapan haji dan umrah adalah antara barangan yang boleh didapati di Kompleks PKNS.

Kenyataan oleh PKNS ini tentunya menggembirakan warga Selangor khususnya penduduk di Shah Alam yang sebelum ini meluahkan rasa sedih dengan khabar perobohan itu.

"Kalau boleh jangan la, tiap kali raya saya cari kurta dekat sini dari kecil lagi.

"For the original Shah Alam boys, sekitar tahun 80-an, dalam komplekslah kita mula main badminton, tak lupa juga dengan kedai ayam goreng pertama yang dibuka di Shah Alam, kedai buku Marwilis, dan yang paling penting florist dalam kompleks itu yang hanya sesetengah lelaki sahaja yang akan ingat dan tidak lupa juga dengan pekerja Bank yang semuanya ala ala model.

"Tak rayalah kalau tak jejak kaki ke PKNS Shah Alam. Bukan Shah Alam kalau tak ada PKNS," demikian antara komen netizen.

Dalam pada itu, PKNS menjelaskan perancangan projek di dalam kawasan pembangunan milik PKNS di pusat bandar Shah Alam merupakan sebahagian usaha peremajaan bandar itu yang dijangka bermula pada suku ketiga tahun ini.

2597861

Ramai yang singgah ke Kompleks PKNS untuk persiapan akhir menjelang Aidilfitri.

“Projek menelan belanja kira-kira RM2 bilion itu akan membabitkan beberapa plot kawasan di pusat bandar Seksyen 14 termasuk SACC Mall dan Pusat Konvensyen SACC di mana dari peringkat awal projek ia sama sekali tidak membabitkan bangunan Kompleks PKNS.

“Sebaliknya, kawasan ini akan dinaik taraf bagi menyediakan kemudahan yang lebih baik dan selesa serta memberikan pengalaman lebih memuaskan kepada pengunjung dan komuniti setempat,” katanya.

Projek peremajaan itu juga seiring usaha PKNS dalam membantu menjadikan Shah Alam sebagai bandar raya sifar karbon.

Selain itu, PKNS turut menaik taraf bangunan terlibat dengan menggunakan sistem ‘centralised chill water’ selain sistem tenaga hijau.

“Ia juga sebagai memenuhi komitmen PKNS dalam menyumbang kepada pembangunan bandar yang mampan serta peningkatan taraf sosioekonomi negeri Selangor secara keseluruhan.

“Sepanjang proses menaik taraf ini, operasi perniagaan di Kompleks PKNS akan berlangsung seperti biasa dan pengunjung akan bebas membeli barang keperluan mereka,” katanya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain