suria

10 lelaki belasah 2 murid guna paip PVC, batang besi depan sekolah... Empat sudah dicekup!

Rakaman video tular menunjukkan murid sekolah diserang.

EMPAT lelaki ditahan susulan insiden dua murid diserang di hadapan sebuah sekolah menengah sekitar Sungai Long, Kajang, pada 14 Mac lalu.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian pergaduhan itu pada pukul 3.04 petang hari sama.

Menurutnya, mangsa dipukul oleh 10 lelaki berbangsa Cina yang menggunakan paip polyvinyl chloride (PVC) dan batang besi sebagai senjata.

Sejurus selepas itu, semua suspek melarikan diri dengan menaiki dua buah kenderaan berbeza.

“Kedua-dua mangsa telah menerima rawatan di Hospital Kajang dan disahkan mengalami kecederaan di kepala serta badan akibat dipukul.

“Kejadian terbabit turut tular di laman Facebook memaparkan aksi pergaduhan selepas tamat sesi persekolahan sesi pagi,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Jelasnya, empat lelaki Cina berusia antara 18 hingga 21 tahun berjaya ditahan di sekitar Ampang pada Isnin bagi membantu siasatan.

Tambah Mohd Zaid, suspek direman sehingga Jumaat dan punca kejadian masih dalam siasatan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan dan polis kini sedang giat mengesan baki suspek yang masih bebas.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain