suria

Lima rider dituduh bunuh pemandu kereta beraya dalam penjara... Mahkamah tunggu laporan forensik

Kesemua mereka didakwa di Mahkamah Majistret Bandar Baru Bangi.

LIMA penghantar makanan (rider) yang disyaki memukul seorang pemandu kereta sehingga mengakibatkan kematian didakwa atas pertuduhan membunuh di Mahkamah Majistret Bandar Baru Bangi, Selangor pada Selasa.

Mereka ialah Mohd Yuree Ranoff Mohd Bachuri, 41; Azharul Azuan Mohd Azan, 34; Tengku Izham Tengku Hamid, 22; Mahazir Nordin, 43; dan Syamsul Qamar Ayob, 40.

ARTIKEL BERKAITAN: Ikat, belasah lelaki sampai mati... 5 individu dihadapkan ke mahkamah esok

Mengikut pertuduhan, semua tertuduh didakwa bersama-sama membunuh Shahril Samad, 41, di Jalan TPS 2/3, Taman Pelangi Semenyih 2, Beranang pada pukul 9.54 malam pada 20 Februari lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun yang sama.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman mati atau penjara minimum 30 tahun dan maksimum 40 tahun dan jika tidak dihukum mati, hendaklah dikenakan sebatan tidak kurang daripada 12 sebatan jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan selepas pertuduhan dibacakan terhadap mereka di hadapan Majistret Nurdiyanah Mohd Nawawi susulan kes berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Prosiding pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Siti Nur Liyana Mohd Sulaiman manakala kelima-lima tertuduh diwakili Mohammad Hafiz.

Tiada ikat jamin diberikan terhadap kelima-lima tertuduh dan mahkamah menetapkan 25 April ini bagi sebutan laporan forensik, bedah siasat dan laporan kimia.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain