suria

“Berdosa pada suami” - Saksi kesal hantar gambar kepada Ebit Lew

Ebit hadir di Mahkamah Majistret Tenom. -Gambar Bernama

PENGADU dalam kes Ebit Lew memberitahu Mahkamah Majistret di Tenom bahawa dia ada menghantar mesej kepada pendakwah itu menerusi aplikasi Instagram.

Wanita berusia 40-an itu berkata, dia pada mulanya melihat Ebit Lew sebagai seorang yang baik yang membantu mereka yang memerlukan menerusi kerja amalnya dan tidak pernah menyangka bahawa dia akan memaksanya menghantar gambarnya kepadanya.

Saksi kesembilan pendakwaan itu diminta oleh timbalan pendakwa raya Analia Kamaruddin membaca kandungan beberapa mesej yang dihantarnya kepada Ebit Lew.

Pendedahan itu dibuat susulan daripada tangkap layar gambar mesej di aplikasi WhatsApp yang dibacanya satu persatu dan diminta untuk menjelaskan maksud mesejnya 'maaf saya sibuk' dan 'sudah mesej di IG'.

ARTIKEL BERKAITAN: Minta gambar seksi, bagi foto kemaluan! Pengadu sebak beri keterangan kes Ebit Lew di mahkamah

Antara isi kandungan mesej pengadu kepada Ebit Lew ialah pengadu sudah tidak mahu menghubungi pendakwah itu lagi tetapi tidak berasa senang hati kerana rasa berdosa dengan perbuatannya.

"Berdosa sangat pada suami sebab di belakang dia saya layan ustaz, sedihnya. Dulu tengok ustaz, mesti panggil suami tengok sama-sama, abang ikutlah macam ustaz Ebit.

"Mesej ini cuma nak cakap je, langsung tidak minta maaf dengan saya, sebab pernah buat yang tidak sepatutnya dengan saya, paksa saya bagi gambar macam-macam. Bodohnya saya ikut.

"Entahlah mungkin pasal saya perempuan dan tidak biasa buat macam itu jadi saya teringat-ingat dan tidak senang hati rasa sangat berdosa," katanya di Mahkamah Majistret Tenom, pada Khamis.

Saksi itu juga mengesahkan 436 tangkap layar skrin perbualannya dengan tertuduh yang diekstrak daripada telefon bimbitnya ketika pemeriksaan langsung pada Khamis dan menyatakan beberapa tangkapan layar itu mungkin pendua kerana sudah mengambilnya dua kali.

Perbicaraan dikendalikan oleh Nor Azizah Mohamad dan Analia sebagai Timbalan Pendakwa Raya dan Ebit Lew diwakili oleh Datuk Ram Singh dan Timothy Daut manakala Majistret ialah Nur Asyraf Zolhani.

Ebit Lew, 38, atau nama sebenarnya Ebit Irawan Ibrahim Lew menghadapi 11 pertuduhan, termasuk mengaibkan saksi dengan menghantar kata-kata dan gambar lucah kepada wanita itu di Whatsapp dari Mac hingga Jun 2021.

Pertuduhan mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan itu membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan akan disambung semula 20 hingga 25 Mei depan.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain