suria

Op Daddy: 4 wanita mengaku bersalah miliki bahan lucah

Kesemua wanita hadapi pertuduhan pada Rabu.

EMPAT daripada enam wanita yang dikaitkan dengan video persundalan individu bernama ‘Hot Daddy’ didenda antara RM2,500 hingga RM4,800 oleh tiga Mahkamah Majistret Kuala Lumpur atas pertuduhan memiliki video lucah, pada Rabu.

Empat mereka itu ialah Nurnabilah Ayuni Hanafi, 22, Amira Natasha Mohammad, 26, Farah Adila Hanum Khairuddin, 36 dan Nur A’liaa Muhammad Rosly, 22.

Nurnabilah Ayuni dan Amira Nastasha yang didakwa di hadapan Majistret Atiqah Mohamed @ Mohamad Saim masing-masing didenda RM3,000.

Tertuduh Farah Adila yang didakwa di hadapan Majistret Noorelynna Hanim Abd Halim didenda RM2,500 manakala tertuduh Nur Aliaa yang didakwa di hadapan Majistret Illi Marisqa Khalizan didenda RM4,800.

ARTIKEL BERKAITAN: Terlibat Op Daddy: 6 wanita dituduh lakukan aktiviti persundalan secara sukarela

Mengikut pertuduhan, keempat-empat tertuduh didakwa dalam milikan masing-masing terdapat video lucah bagi maksud menunjukkan secara awam.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 292(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda atau kedua-duanya.

Sekiranya kesemua tertuduh yang mengaku salah itu gagal membayar jumlah denda, mereka boleh dipenjara sebulan hingga enam bulan.

Sementara itu, dua lagi wanita iaitu Felecia Lisa Nandong,21, dan Norfatihah Ramle, 30, yang turut didakwa atas pertuduhan sama mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan masing-masing di hadapan Majistret Nurul Izzah Shaharuddin dan Majistret M.S Arunjothy.

Mahkamah kemudian membenarkan Felecia diikat jamin RM2,000 manakala Norfatihah diikat jamin RM3,000 dengan tarikh 12 Mac dan 26 Mac bagi sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan-timbalan Pendakwa Raya, Nurhafiezah Mohamed Fauzi, Nadia Eleena Jamaluddin Akbal, Zuhairi Osman, Sheryn Yong Shi Yee dan Nor Aisyah Mohamed Zanyuin.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain