suria

Sayu 2 anak kecil lihat arwah Bella kali terakhir, jenazah selamat dikebumi

Dua anak arwah Bella mengiringi jenazah ibu mereka di tanah perkuburan.

JENAZAH Allahyarham Mila Sharmila Samsusah atau Bella, 32, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Banang Jaya di Batu Pahat, pada Rabu.

Terdahulu, jenazah Bella tiba di Masjid Dato Bentara di Batu Pahat, kira-kira pukul 4.45 petang untuk solat jenazah selepas solat Asar dan diimamkan oleh Imam 1, Hairul Zaman Ahmad.

Suasana sayu menyelubungi tanah perkuburan apabila dua anak Bella, Eusof Abdul Fatah, 4, dan Maream Isabel, 2, menatap jenazah ibu mereka buat kali terakhir.

ARTIKEL BERKAITAN: Cemburu, sakit hati! Polis dedah motif Bella dibunuh

ARTIKEL BERKAITAN: Sah rangka manusia ditemukan di rumah terbiar milik Bella!

Turut kelihatan ibu Bella, Noraini Salleh, 55, dan kakak, Norhisham, 36, yang tidak dapat menahan sebak sebaik jenazah dimasukkan ke liang lahad.

Bacaan talkin diketuai Imam Masjid Kampung Istana, Abdul Jalil Ali.

Pada 14 Disember tahun lalu, Bella yang merupakan ibu tunggal kepada dua anak itu dilaporkan hilang selepas tidak dapat dihubungi.

Mayat Bella kemudian ditemukan dalam keadaan rangka tidak sempurna pada petang Jumaat lalu di sebuah rumah sewa terbiar di Batu 7, Tongkang Pechah di Batu Pahat.

Penemuan rangka itu menjawab misteri kehilangan Bella selepas mangsa didakwa keluar bersama suspek yang merupakan teman lelakinya.

Pada Selasa lalu, polis dalam satu kenyataan memaklumkan rangka ditemui itu adalah milik Bella selepas ujian DNA dilakukan berpadanan dengan sampel yang diambil daripada ibu dan kakak Bella.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain