suria

Ebit Lew imamkan solat jenazah Bella, hadir ke hospital beri semangat

Ebit (dua, kiri) hadir memberi sokongan kepada keluarga arwah Bella. -Gambar Facebook Ebit Lew

PERSONALITI dakwah, Ebit Lew berpeluang mengimamkan solat jenazah arwah Mira Sharmila Samsusah, 32, atau Bella, pada Rabu.

Menurut Ebit, ia dilakukan ketika berkunjung ke Jabatan Forensik Hospital Sultan Ismail (HSI) di Johor Bahru bagi memberi semangat kepada keluarga Bella.

"Saya imamkan solat jenazah di dalam tadi, nanti di masjid di Batu Pahat, ada solat jenazah lagi sekali," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Cemburu, sakit hati! Polis dedah motif Bella dibunuh

ARTIKEL BERKAITAN: Sah rangka manusia ditemukan di rumah terbiar milik Bella!

Ebit mengucapkan kesyukuran kerana dapat solatkan jenazah Bella sebelum dibawa ke Masjid Datuk Bentara di Batu Pahat dan dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Banang.

"Saya ingin mengucapkan takziah kepada keluarga Bella. Allah akan memberi kebaikan kepada insan sebanyak mana mereka ditimpa musibah.

"Semoga keluarga Bella tabah dengan ujian dihadapi," katanya lagi.

Pada 14 Disember tahun lalu, Bella yang merupakan ibu tunggal kepada dua anak itu dilaporkan hilang selepas tidak dapat dihubungi.

Mayat Bella kemudian ditemukan dalam keadaan rangka tidak sempurna pada petang Jumaat lalu di sebuah rumah sewa terbiar di Batu 7, Tongkang Pechah di Batu Pahat.

Penemuan rangka itu menjawab misteri kehilangan Bella selepas mangsa didakwa keluar bersama suspek yang merupakan teman lelakinya.

Pada Selasa lalu, polis dalam satu kenyataan memaklumkan rangka ditemui itu adalah milik Bella selepas ujian DNA dilakukan berpadanan dengan sampel yang diambil daripada ibu dan kakak Bella.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain