suria

Lelaki terjatuh di landasan maut digilis LRT, RapidKL minta padam video tersebar

Seorang lelaki maut selepas digilis tren di stesen LRT Datuk Keramat.

SEORANG lelaki berumur 27 tahun maut digilis tren Transit Aliran Ringan (LRT) selepas terjatuh ke atas landasan di stesen LRT Datuk Keramat, Kuala Lumpur pada Jumaat malam.

Komander Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, Mohd Fabell Md Yasin berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada pukul 9.010 malam, dan terpaksa mendapatkan bantuan juruteknik LRT untuk menggerakkan tren kebahagian belakang bagi mengeluarkan mayat lelaki itu.

"Lelaki itu digilis di bahagian kedua-dua belah kaki dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pihak petugas kesihatan," katanya.

Sementara Rapid Rail Sdn Bhd (Rapid Rail) dalam kenyataan pada Jumaat berkata, susulan kejadian itu jadual perjalanan LRT Laluan Kelana Jaya terjejas, menyebabkan waktu menunggu yang lebih lama.

Mangsa berjaya dikeluarkan dengan bantuan pihak teknikal LRT.

Perkhidmatan rel alternatif, termasuk perkhidmatan bas sokongan, telah diaktifkan bagi menyokong operasi.

"Pihak Rapid Rail akan bekerjasama dengan pihak berkuasa bagi menyiasat kejadian. Kami memohon maaf kepada semua penumpang yang terjejas akibat kejadian itu, dan atas kelewatan tren malam ini," menurut kenyataan itu.

Menurut kenyataan, lelaki tersebut berjaya dikeluarkan oleh pasukan penyelamat dengan bantuan pihak teknikal LRT untuk menggerakan tren secara mengundur.

Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) tidak lama selepas itu akibat kecederaan parah dan diserahkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut.

Tangkap layar video yang tersebar di X.

Terbaharu, satu rakaman kamera litar tertutup (CCTV) memaparkan kejadian itu tersebar di media sosial selepas dimuat naik oleh seorang pelayar di X dengan ramai menganggap kejadian ini sebagai kes bunuh diri.

Video ngeri tersebut mendapat perhatian ramai termasuklah pihak Rapid Rail sendiri yang membalas ciapan dibuat individu berkenaan.

Menurut AskRapidKL, video yang disebarkan adalah maklumat sulit yang sedang digunakan oleh pihak berkuasa bagi menjalankan siasatan.

"Kami memohon jasa baik tuan (penyebar) untuk menurunkan dan memadam video tersebut kerana siasatan masih berjalan selain menghormati privasi keluarga mereka yang terlibat," tulisnya dalam ciapan tersebut.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain