suria

Anwar individu pertama di Malaysia miliki Digital ID, dakwaan masuk cip dalam badan tak berasas

Anwar individu pertama di Malaysia daftar Digital ID. -Gambar Facebook

SEIRING kecanggihan teknologi hari ini, cara manusia menjalani kehidupan seharian juga semakin berubah.

Terbaharu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi individu pertama di Malaysia yang memiliki Identiti Digital Nasional atau Digital ID.

Anwar mendaftarkan dirinya dengan Digital ID pada Jumaat yang mana teknologi itu merupakan satu bentuk pengenalan dan pengesahan diri individu secara digital.

Ia bakal dimanfaatkan sektor awam dan swasta untuk mengesahkan identiti pengguna semasa melakukan transaksi secara dalam talian.

Mengulas tanggapan segelintir individu yang mengaitkan Digital ID dengan pelbagai teori konspirasi, Anwar menyifatkan ia sebagai satu perkara yang tidak berasas.

"Apa takut isu peribadi? Bank Negara Malaysia tidak akan lepaskan rekod personal perbankan peribadi. Jadi yang itu dikawal.

"Kemudian juga kata kononnya ada cip masuk dalam badan dan sebagainya, itu semua tengok banyak sangat filem Hollywood," ujarnya kepada media.

Kewujudan Digital ID tidak akan menggantikan sistem MyKad, namun ia merupakan platform yang dipercayai dan selamat.

Malah, ia akan memudahkan pengesahan identiti dalam talian bagi mengelakkan penipuan identiti dalam urusan secara dalam talian.

Sebelum ini, Anwar juga dilaporkan berkata pendaftaran Digital ID menjadi langkah awal dalam pemberian subsidi bersasar, serta pelbagai kemudahan lain oleh jabatan kerajaan dan pihak swasta.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain