suria

Orang Malaysia telefon nak dengar bunyi bom di Gaza! Dr Nurul Ain bengang sikap tak sensitif, buat main konflik Israel-Palestin

Dr Nurul Ain meluahkan rasa kecewa dengan rakyat Malaysia yang tidak sensitif.

KETIKA rakyat Palestin bertarung nyawa menentang kekejaman rejim Zionis, masih terdapat segelintir masyarakat di Malaysia yang tidak sensitif dengan apa yang berlaku.

Menurut rakyat Malaysia, Dr Nurul Ain Latif yang kini menetap di Semenanjung Gaza, dia kecewa apabila menerima panggilan daripada individu yang tidak sensitif semata-mata untuk mendengar bunyi bom di lokasi konflik.

“Dekat sini saya nak minta tolong sikit. Boleh tak jangan call saya dan minta nak dengar (bunyi) bom. Boleh tak sensitif sikit dengan perkara ini?

"Anda semua ingat benda tu main-main ke? Nak dengar bom? Jadi anda doakan kami semua kena bom ke apa sekarang ni?

ARTIKEL BERKAITAN: Israel bom hospital Gaza, bunuh kira-kira 500 rakyat Palestin

"Saya tak faham dengan orang-orang macam ni. Tolonglah... Keadaan sangat susah dan genting. Anda call saya nak dengar bom? Astagfirullah,” katanya.

Dalam pada itu, Dr Nurul Ain turut meminta masyarakat di negara ini bersyukur dengan keadaan aman di Malaysia.

“Nikmatilah tidur dengan lena. Nikmati keadaan yang tenang. Anda tak rasa apa yang saya rasa dan hadap. Bersyukurlah negara kita masih aman.

"Anda patutnya bersyukur dan bukannya hubungi saya minta nak dengar bom. Saya tak faham dengan orang macam ni. Tolong sensitif sikit. Keadaan sangat tegang,” ujarnya.

Cubaan untuk memberikan bantuan kepada rakyat Palestin terbantut gara-gara bunyi bom.

Malah, kata Dr Nurul Ain, usahanya untuk memberi bantuan kepada penduduk di Gaza juga tidak dapat diteruskan gara-gara dentuman bom di kawasan kediamannya.

"Tadi saya nak keluar beli barang untuk bantuan. Itu pun ada bom. Saya patah balik semula.

"Keadaan tidak mengizinkan untuk meneruskan misi beri bantuan kepada orang ramai yang memerlukan," jelasnya lagi.

Untuk rekod, Dr Nurul Ain yang berasal dari Kota Bharu, Kelantan berkahwin dengan lelaki warga Palestin dan kini berada di Gaza sejak Oktober lalu.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain