SEORANG pemain futsal menerima padah apabila bertindak membelasah pengadil perlawanan dengan serangan ala Muay Thai di Kompleks Sukan, Ara Damansara, Selangor baru-baru ini. Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid mengesahkan laporan kejadian telah dibuat mangsa iaitu seorang lelaki berusia 40-an pada pukul 12.12 tengah malam Khamis. "Kejadian dikatakan berlaku di sebuah pusat sukan pada 9.45 malam, 29 Ogos. "Kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan cedera," katanya dalam satu kenyataan, Isnin. Mohamad Fakhrudin berkata, suspek yang terbabit dalam kejadian itu sudah dikenal pasti dan didakwa di Mahkamah Petaling Jaya hari ini. Terdahulu, tular sebuah video menunjukkan seorang pengadil yang sedang mengendalikan perlawanan futsal di sebuah pusat sukan sebelum dibelasah dengan serangan ala 'Muay Thai' oleh seorang pemain. Lebih menyayat hati apabila kejadian terbabit disaksikan sendiri seorang wanita dipercayai isteri kepada pengadil berkenaan sebelum dia berkongsi insiden itu di media sosial. "Ya Allah, hancur hati seorang isteri dan seorang anak bila ketua keluarga diperlakukan begitu. Apa hak kau nak tendang orang yang mencari rezeki. "Kau dah salah tapi kau rasa hebat sangat jadi sekarang kau hadaplah ye lepas ni apa saja hukumannya. "Disebabkan dah viral jadi kita viralkan lagi. Nak sangat jadi famous kan dengan cara kurang ajar kau," tulisnya dalam hantaran tersebut, Khamis. Wanita terbabit yang menerusi akaun Nnies Adniza juga berkongsi klip video berdurasi 13 saat yang memaparkan pengadil futsal melayangkan kad merah kepada seorang penjaga gol selepas dia dilihat melakukan kekasaran yang membahayakan pemain lawan. Namun, secara tiba-tiba seorang pemain 'naik hantu' sebelum meluru masuk dan melompat serta melakukan serangan ala Muay Thai dengan menggunakan lutut di bahagian belakang badan pengadil berkenaan. Dalam hantaran sama, Nnies turut menjelaskan bahawa individu tersebut membuat permohonan maaf dengan alasan tidak dapat mengawal emosi ketika kejadian. "Setakat main futsal tapi lagak kau macam pemain terkenal dengan alasan b*d**. "Kau minta maaf dengan alasan tak ada mood, emosi tak boleh kawal. Jadi suka hati kau nak tendang orang. "Maaf saya jenis orang yang tidak suka marah menyumpah tapi emosi saya teruk sebab suami saya yang kena lagi-lagi di tangan ada fistula dialisis," katanya lagi. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube