suria

Berang isteri curang dengan penjawat awam, suami belasah 'orang ketiga' sampai maut

Kakitangan awam maut selepas berlaku pergaduhan di sebuah kedai di Kampung Cabang Sungai Hala. -Gambar Twitter

SEORANG lelaki dipercayai kakitangan awam dilaporkan maut selepas berlaku pergaduhan di sebuah kedai di Kampung Cabang Sungai Hala, Machang, Kelantan pada pagi Ahad.

Menurut Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun, hubungan sulit di antara mangsa dengan isteri suspek disyaki menjadi punca pergaduhan sehingga meragut nyawa mangsa.

"Motif kejadian adalah suspek mengesyaki mangsa yang juga si mati ada hubungan sulit dengan isterinya.

"Suspek bekerja di sebuah syarikat swasta di Kuala Lumpur, manakala mangsa yang juga penjawat awam bekerja di sebuah jabatan sama dengan isteri suspek di Kuala Krai," katanya dalam satu kenyataan.

Dalam kejadian kira-kira pukul 11 pagi di sebuah kedai makan di hadapan Hospital Machang, dua lelaki berusia 46 dan 51 tahun dilapor bergaduh dengan seorang daripada mereka mengalami kecederaan parah di muka.

Tambah Zaki, mangsa, 51, cedera parah di kedua-dua mata dan patah tulang rusuk sebelah kiri, manakala suspek cedera pada kedua-dua belah tangan.

"Pergaduhan berlaku tanpa membabitkan sebarang senjata, namun mangsa dibawa ke Hospital Machang oleh ambulans untuk rawatan lanjut dan disahkan meninggal dunia semasa mendapatkan rawatan," katanya.

Mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Machang untuk bedah siasat.

Beliau berkata, setakat ini suspek kes itu sudah ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

"Suspek akan dibawa ke Mahkamah Machang untuk perintah tahanan reman," katanya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain